Isnin, 18 Februari 2008

301 syiling lama berharga RM33.56j


Syiling tahun 1793 yang telah dibatalkan penggunaannya

LONG BEACH: Seorang pemilik syarikat pengeluar alat ganti pesawat terkejut dan tidak menyangka koleksi 301 keping wang syiling lama miliknya kini bernilai kira-kira AS$10.7 juta (RM33.56 juta) apabila dilelong. Sebahagian daripada koleksi wang syiling milik Walter J Husak dari Burbank, amat jarang dijumpai dan antara contoh terawal wang siling yang digunakan di Amerika Syarikat.

“Saya mula berminat mengumpul wang syiling ketika berusia 13 tahun apabila sering melawat datuk dan membantunya bekerja. Dia membayar saya dengan wang lama itu sebagai upah,” katanya.

Antara koleksi wang syiling milik Husak yang amat jarang ditemui ialah sekeping wang bertarikh 1793, yang dibatalkan penggunaannya berikutan gambar ‘Lady Liberty’ pada permukaan wang itu dikatakan ‘menakutkan’.

Sementara itu, Presiden Galeri Lelongan Heritage, Greg Rohan yang bertanggungjawab melakukan jualan lelong itu malam kelmarin, berkata wang berkenaan bersama sekeping lagi wang syiling bertarikh 1794 yang ditambah bintang kecil untuk mengelak pemalsuan, menerima bidaan sehingga beratus ribu dolar. Beliau berkata, lelongan yang dilakukan adalah yang terbesar dan bernilai paling tinggi dalam sejarah koleksi mata wang, manakala beratus-ratus pembida berusaha memenangi bidaan setiap wang yang dilelong.

“Ia memang malam yang hebat. Setiap pengumpul wang siling terkenal di Amerika berusaha membuat bidaan sama ada pada malam lelongan, membina secara online atau melalui telefon,” katanya.

Seramai 168 pembida berjaya di dalam bidaan mereka, manakala galeri berkenaan memperoleh 15 peratus komisen keseluruhan. Peminat dan pengumpul wang syiling beranggapan syiling lama sebagai unik, kata Al Boka, 58, yang juga rakan kepada Husak.

Syiling bertarikh 1794 dilihat sebagai paling unik kerana bahan pewarna syiling itu sering ditukar menyebabkan banyak kepingan syiling lama beraneka corak.

Boka membeli enam jenis syiling bertarikh 1794 daripada Husak, Jumaat lalu, setiap satunya berharga antara AS$30,000 (RM96,000) hingga AS$58,000 (RM185,600).

- AP