Isnin, 18 Februari 2008

Kekecewaan YB Batu Gajah serlah ‘dinasti’ dalam DAP


Fong Po Kuan

TINDAKAN Ahli Parlimen DAP, Fong Po Kuan untuk tidak mempertahankan kerusinya di Batu Gajah pada pilihan raya umum 8 Mac ini dengan memberi alasan masalah dalaman parti, bukan sesuatu yang mengejutkan. Setiap kali menjelang pilihan raya pasti ada rasa kecewa, tidak puas hati dan marahkan pucuk pimpinan di kalangan parti-parti politik dan DAP tidak terkecuali. Bezanya antara parti lain terutama komponen Barisan Nasional (BN) dengan DAP ialah pemimpinnya terutama Lim Kit Siang sering kali menghentam orang lain dengan pelbagai tuduhan seolah-olah parti itu sempurna. Namun, umum mengetahui DAP sendiri tidak pernah sunyi daripada masalah sehingga ramai pemimpin itu terpaksa berundur. Ini bukan kali pertama krisis dalaman melanda DAP. Sudah ramai pemimpin popular DAP mengundur diri atau tersingkir, dari Tan Sri Lee Lam Thye, Wee Choo Keong sehingga kepada Hu Sepang, semuanya berundur kerana menjadi mangsa krisis dalaman parti. Anehnya, pucuk pimpinan parti pembangkang itu terus kekal mendominasi parti iaitu Lim dan anaknya, Lim Guan Eng. Walaupun ramai ahli parti merasakan pertukaran pucuk pimpinan DAP perlu bagi memberi saingan kepada BN, tidak ramai yang berani menyanggah dua beranak itu.

Masalah DAP yang wujud sejak sekian lama dan disedari oleh ahli parti itu ialah Lim dan seorang lagi pemimpin kanan parti itu, Karpal Singh, cuba membina dinastinya dalam parti dengan memastikan anggota keluarga mewarisi kepemimpinannya, manakala mana-mana pemimpin yang berpotensi terpaksa dicantas. Itulah yang berlaku kepada Lam Thye, Wee dan Hu Sepang. Menjelang pilihan raya umum 8 Mac ini, jelas hubungan kekeluargaan menjadi faktor dalam pemilihan calon DAP untuk menentang BN. DAP yang merancang menawan Pulau Pinang, turut mempertaruhkan Karpal Singh untuk mempertahankan kedudukan di negeri itu, selain dilaporkan memberi lampu hijau kepada anaknya, Jagdeep Singh untuk bertanding sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang. Seorang lagi anaknya, Gobind Singh Deo, dilaporkan bakal bertanding di Johor atau Selangor, walaupun keluarga Karpal menafikan wujud nepotisme dalam parti.

Pengunduran Fong turut dikaitkan dengan cadangan DAP Perak yang diketuai Ngeh Koo Ham untuk meletakkan sepupunya, Nga Kor Ming yang kini Adun Pantai Remis bagi menggantinya di Parlimen Batu Gajah. Perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak merencatkan hasrat DAP untuk memberi tekanan kepada BN terutama di Pulau Pinang. DAP kini boleh dianggap parti keluarga menyebabkan ramai pemimpin peringkat pertengahan dan yang tidak sehaluan dengan pucuk kepemimpinan utama akhirnya kecewa dan mengundur diri. Bagaimanapun, BN tidak boleh mengharapkan krisis yang menimpa parti pembangkang itu untuk mengambil sikap selesa, terutama kenyataan Guan Eng yang cuba merendah diri ketika berhadapan parti pemerintah pada pilihan raya kali ini. Pepatah ‘Selangkah berundur untuk mendapat dua langkah ke depan’ menjadi amalan DAP untuk mengabui musuh. Itulah yang cuba dilakukan DAP sekarang ketika menghadapi kekuatan jentera pilihan raya BN. Berikutan itu, tanpa menunggu pihak pembangkang berhadapan dengan krisis atau ditimpa masalah dalaman parti, jentera pilihan raya BN perlu digerakkan ke tahap maksimum. Biasanya unsur leka akan wujud apabila melihat atau menganggap pihak lawan lemah. BN perlu mengikis sikap itu jika ia mahu memastikan pilihan raya kali ini terus mencatatkan kemenangan cemerlang terutama di kawasan majoriti pengundi Cina.

Berita Harian