KUALA TERENGGANU - Mungkin penat menyelongkar rumah seorang pegawai insurans, seorang lelaki yang terlena setelah mengambil dadah akhirnya meringkuk di dalam lokap apabila ditangkap polis kelmarin.
Pegawai insurans tersebut, V. Sathya, 39, ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dato' Issac berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri dan dua anaknya keluar untuk membeli-belah pukul 12 tengah kelmarin.
Katanya, apabila beliau pulang pada pukul 3.30 petang, anaknya Kavelan, 9, berlari ke arahnya dan memberitahu ada seseorang sedang tidur di biliknya.
"Lelaki itu masih tidur dalam selimut walaupun ketika kami sedang memerhatikan dia.
"Saya mengambil keputusan untuk menutup pintu dan menelefon pihak polis sebelum polis datang kejutkan dan terus menahannya," katanya.
Tambah Sathya, isterinya, Wong Chee Chu, 30, sudah beberapa hari membuat persediaan untuk meraikan Tahun Baru Cina dan bercadang untuk mengadakan rumah terbuka di sini.
"Penceroboh itu memasuki rumah saya melalui siling bilik mungkin setengah jam selepas kami keluar.
"Tetapi dia tidak sempat mengambil apa-apa pun di dalam rumah saya," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, suspek seorang buruh berusia 29 tahun dari Kampung Kubang Jela, Manir itu didapati positif dadah dan sedang 'high' ketika berbaring hingga tertidur di atas katil mangsa.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah," katanya.
Kosmo!