Isnin, 18 Februari 2008

Tiada lagi api misteri


TANAH MERAH - Sehingga lewat petang semalam, tiada lagi kejadian terbaru serangan api misteri berlaku di rumah Mek Kelthom Samad, 48, setelah dua pengamal perubatan tradisional tampil membantu.

Pengamal perubatan tradisional pertama, Mazani Pawang Chik dari Bukit Bunga dekat sini datang sendiri ke rumah mangsa di Kampung Air Chanal setelah mendapat tahu kisah malang keluarga tersebut daripada penduduk kampung.

"Mazani yang memang dikenali penduduk di sini datang petang semalam (kelmarin) dan berdasarkan pemerhatiannya dia percaya serangan api misteri ini ada kaitan dengan makhluk halus.

"Ketika melakukan perawatan di rumah saya, bunyi pelik seperti tikus berlari berkumpulan jelas kedengaran," ujarnya kepada KOSMO!.

Menurut Mek Kelthom lagi, semua ahli keluarga dan jiran yang ada di situ turut mendengar bunyi seperti tikus berlari di sekeliling rumah.

"Selesai perawatan, Mazani memberitahu kemungkinan tiada lagi serangan api misteri selain meminta kami sekeluarga berdoa," ujarnya yang kelihatan sedikit tenang.

Kurang dua jam kemudian, seorang lagi pengamal perubatan tradisional dari Segamat, Johor tiba di rumah Mek Kelthom kira-kira pukul 4 petang setelah membaca kisah keluarga malangnya itu melalui akhbar KOSMO!.

Katanya, lelaki yang dikenali sebagai 'Pok Wo' itu mengambil masa lebih sejam merenjis sekitar kawasan rumahnya.

Menurut beliau, Pok Wo turut mengakui kejadian itu disebabkan makhluk halus atau 'anak kerak' yang disifatkan sebagai makhluk perantaraan daripada seseorang.

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
Kosmo!