Isnin, 18 Februari 2008

Bar oksigen jadi tumpuan di Paris


PARIS - Ketika bar-bar oksigen mula 'bercambah' di Perancis, pihak berkuasa kesihatan mula mempersoalkan kebaikan untuk menghidunya.

Keadaan itu berlaku kerana sebuah bar oksigen di Paris mula dibuka kepada orang ramai pada minggu lalu.

Sebelum ini bar seumpama itu sudah dibuka di Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan di beberapa buah negara lain di dunia pada tahun 1990-an.

Bar itu terletak di institut kecantikan yang dimiliki oleh isteri kepada seorang ahli politik terkenal di negara berkenaan.

Dalam bar, itu, beberapa tetamu kenamaan duduk di meja yang mengandungi botol oksigen.

Menurut seorang pekerja syarikat Colian yang menjual peralatan oksigen, Jean-Guillaume Laurent, para tetamu itu perlu menyedut oksiden itu selama 10 minit untuk merasa kesannya.

"Ia kelihatan menarik," kata seorang bekas menteri pendidikan, Luc Ferry.

"Hidung anda seperti dibersihkan," kata seorang wanita muda yang duduk berdekatan dengan Ferry.

Bar seperti itu sudah dibuka di beberapa bahagian lain di Perancis seperti di Saint-Tropez, kasino Deauville dan di Strasbourg di sempadan Jerman.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Perancis mula memikirkan sama ada untuk menguatkuasakan peraturan mengenai bar oksigen yang semakin banyak di negara berkenaan.

"Kami sedang memikirkan sama ada ia merupakan produk kesihatan," kata Ketua Pengguna Produk Kesihatan Agensi Dadah Perancis, Marie-Laurence.

"Kami mengetahui bahawa beberapa tahap pekatan (lebih 99.5 peratus) dan tempoh masa lama (lebih enam jam), oksigen akan menjadi bahaya untuk paru-paru serta sistem saraf," tambahnya.

Kebanyakan bar oksigen mencadangkan kepada para pelanggan supaya emreka menghidunya antara lima dan 20- minit.

- AFP