Selasa, 19 Februari 2008

Politik maki hamun helah Pas tutup kelemahan


RAKYAT khususnya pengundi sudah pasti mengharapkan Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini tidak dicemari dengan umpatan dan maki hamun, apa lagi kaedah berkempen seperti itu dianggap kuno dalam era teknologi maklumat yang semakin canggih sekarang. Namun, kata nista yang menyakitkan telinga mendengar tetap berlaku, walaupun negara sudah 12 kali mengadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan bagi mentadbir negeri dan negara. Kenyataan menghina Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan orang Umno seperti orang utan, sekali lagi mengulangi kaedah kuno dalam memulakan bahang kempen pilihan raya kali ini. Walaupun secara sengaja atau tidak, ungkapan berupa menghina tidak sepatutnya keluar daripada pemimpin politik baik pembangkang atau parti pemerintah. Kalau kita melihat kepada proses pemilihan calon pilihan raya Amerika Syarikat sekarang, pemimpin Demokrat dan Republikan yang bersaing sesama sendiri untuk terpilih mewakili parti masing-masing, tidak menggunakan kaedah itu untuk berkempen. Malah sekiranya terlepas cakap, pihak media segera melaporkannya, sehingga menimbulkan polemik yang berakhir pemimpin terbabit meminta maaf. Inilah kaedah berkempen sebenar dan taktik maki hamun untuk meraih undi, tidak lagi laku dalam masyarakat negara ini, yang semakin terbuka sekarang terutama di kalangan generasi muda sekarang.

Pengundi hanya mahu melihat dan mendengar apa yang boleh dilakukan parti untuk membangunkan negeri atau negara, sekiranya terpilih. Mereka mahu mengetahui mengenai manifesto parti, apa yang akan dilakukan untuk tempoh lima tahun akan datang, bukannya maki hamun yang lebih bercorak serangan peribadi. Pemimpin terutama parti pembangkang sepatutnya semakin matang selepas sekian lama menyertai proses pilihan raya, namun nampaknya tidak banyak perubahan dari dulu sehingga kini. Ketika sebahagian rakyat mengeksploitasi laman web dan penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berkempen dan meraih undi, masih ada pihak yang ketinggalan zaman, menggunakan kaedah yang ternyata menyentuh peribadi untuk meraih undi. Biarlah isu kafir mengkafir yang dibangkitkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada awal 1980-an, sehingga mewujudkan masalah dua imam dan memecah-belahkan masyarakat Islam berlalu dan menjadi teladan kepada kita semua. Bahaya caci-mencaci dan menghina sesama manusia, cukup kuat kesannya kepada masyarakat. Kita bernasib baik kerana mempunyai masyarakat berilmu dan berfikiran terbuka. Walaupun pelbagai maki hamun disogokkan kepada masyarakat, tiada tindak balas dilakukan mangsa maki hamun dan tohmahan. Ini berbeza di negara yang masyarakatnya berfikiran tertutup dan taksub kepada pemimpin, kacau-bilau sehingga tercetus pembunuhan sesama sendiri berlaku, semuanya dapat kita lihat di beberapa negara luar, setiap kali pilihan raya berlangsung.

Pemimpin Pas, yang mendakwa dalam ilmu agama mereka, perlu memberi contoh kepada pengundi muda yang celik teknologi maklumat dengan menggunakan kaedah sesuai untuk menyampaikan matlamat dan dasar parti supaya diketahui dengan cara lebih tertib, bukan dengan menggunakan perkataan atau kata-kata yang berlawanan apa yang diamalkan. Mencari alasan untuk menghalalkan cara iaitu menggunakan maki hamun untuk berkempen dan meraih undi, sudah lama berlalu. Masyarakat hari ini melihat apa yang dicakapkan berserta amalannya sekali. Kalau sebaliknya berlaku, akan wujudlah ‘cakap tidak serupa bikin’, sekali gus bukan saja mencemarkan parti, tetapi agama Islam. Kita berharap, pilihan raya kali ini tiada lagi kempen menggunakan kaedah kuno dan memaki hamun bagi menarik pengundi.

Berita Harian