Selasa, 19 Februari 2008

Rudd PM Australia paling popular


CANBERRA: Perdana Menteri Kevin Rudd adalah pemimpin Australia paling popular dalam tempoh dua dekad selepas memohon maaf kepada penduduk pribumi kerana ketidakadilan masa lalu dan mengesahkan perjanjian Kyoto.

Satu kajian pendapat menunjukkan pemimpin parti Buruh berkenaan yang menamatkan pemerintahan kerajaan konservatif selama 11 tahun November tahun lalu lebih digemari oleh 70 peratus pengundi, kata Newspoll dalam akhbar The Australian. Sokongan itu adalah yang tertinggi sejak kajian pendapat pertama kali disiarkan pada 1987 dan juga menunjukkan 69 peratus pengundi menyokong permohonan maaf Rudd kepada penduduk pribumi kerana ketidakadilan masa lalu, satu langkah yang mengubah dasar kerajaan konservatif sebelum ini yang enggan meminta maaf daripada penduduk minoriti negara itu.

Parti Konservatif yang kini menjadi parti pembangkang berkata keputusan itu mencerminkan liputan meluas terhadap permohonan maaf Rabu lalu yang disaksikan penduduk Australia melalui skrin besar televisyen di kebanyakan bandaraya di seluruh negara.

“Kerajaan yang baru dilantik melalui bulan madu seperti ini dan dengan permohonan maaf itu, Perdana Menteri menerima publisiti meluas,” kata jurucakap pembangkang, Nick Minchin kepada radio tempatan.

Pembangkang berkata Rudd semakin popular berikutan membuat perkara besar seperti permohonan maaf berkenan dan keputusan menerima Protokol Kyoto sekali lagi mengubah dasar kerajaan sebelum ini bagi mengekalkan momentum selepas menang dalam pilihan raya.

Berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum lalu, diburukkan lagi dengan bekas perdana menteri John Howard kehilangan kerusi selepas memerintah hampir 12 tahun, parti Konservatif terjerumus dalam keadaan kucar kacir. Sebuah program televisyen disiarkan Isnin menunjukkan seorang ahli kanan kerajaan terdahulu memberitahu bagaimana mereka secara rahsia menekan Howard untuk bersara sejak pertengahan 2006 bagi mencerahkan peluang parti.

Kajian pendapat Newspoll menunjukkan sokongan diterima Brendan Nelsan iaitu pemimpin baru pembangkang hanya sembilan peratus.

- Reuters