Selasa, 19 Februari 2008

Spice Girls mahu hibur Mandela


NEW YORK: Kumpulan Spice Girls berharap untuk membuat persembahan kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tetapi berkata bahawa mereka belum lagi dimaklumkan secara rasmi untuk terbabit dalam persembahan sempena sambutan hari jadi bekas pemimpin itu ke 90 Jun ini. Dalam satu temubual sebelum membuat persembahan di New York, lima anggota kumpulan pop British itu, Geri Halliwell, Victoria Beckham, Melanie Brown, Melanie Chisholm dan Emma Bunton terlalu gembira dengan rancangan berkenaan.

Akhbar Britain, Daily Mirror minggu lalu melaporkan bahawa Mandela ingin menyaksikan persembahan Spice Girls yang bersatu semula lewat tahun lalu untuk album kompilasi dan jelajah dunia bagi mengadakan persembahan pada satu konsert yang dirancang di Hyde Park, London.

“Kami rakan baik Mandela dan gembira untuk membuat persembahan untuk beliau,” kata Chisholm atau Sporty Spice.

Spice Girls bertemu Mandela pada 1997 ketika bekas presiden itu menjemput mereka ke kediamannya di Pretoria untuk berbual dan bergambar. Mereka pada masa itu berada di Afrika Selatan untuk mengadakan satu konsert kebajikan di Johannesburg.

- Reuters