Selasa, 19 Februari 2008

Anak ikut jejak Steve Irwin


Steve Irwin

NEW YORK: Anak lelaki ‘Pemburu Buaya’, Steve Irwin yang berusia empat tahun menjejaki sifat bapanya itu apabila dia baru-baru ini langsung tidak menunjukkan perasaan takut apabila digigit seekor anak ular sawa.

“Dia mengambil seekor daripadanya yang kemudian mematuk jarinya dan dia kelihatan begitu bangga berhadapan dengan keadaan itu,” kata balu Irwin, Terri semalam yang muncul di sebuah kedai permainan FAO Schwarz bersama dua anaknya untuk mempromosikan permainan baru.

“Katanya, ‘Saya harap ia tidak berbisa,’ jadi saya kemudian menekankan kepada Robert bahawa saya sebenarnya tidak akan membenarkan dia bermain dengan ular berbisa,” katanya.

Terri Irwin berkata, anak perempuan beliau yang berusia sembilan tahun, Bindi pernah dipatuk ular buat pertama kalinya ketika berusia 18 bulan. Budak perempuan itu muncul dalam rancangan di Discovery Kids Channel, ‘Bindi the Jungle Girl’ beraksi di depan kamera dengan aksi lasak.

Steve Irwin, hos rancangan televisyen Australia yang mengisahkan kehidupan ular dan buaya mati pada 2006 kerana disengat ikan pari ketika satu penggambaran dokumentari di dasar laut. Beliau berusia 44 tahun.

Irwin mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa pada 2004 apabila beliau difilemkan sambil memegang anaknya berusia sebulan ketika memberi makan kepada seekor buaya.

- AP