LONDON: Seorang remaja Britain yang disahkan mempunyai empat buah pinggang atau ginjal, kini berhasrat untuk mendermakan organ lebihannya itu. Akhbar The Telegraph melaporkan, Laura Moon, 18, menyedari kelebihannya itu menerusi pemeriksaan imbasan ultra enam bulan lalu kerana sakit perut yang kerap dialaminya.
Kini Moon, yang berasal dari Leeds, berhasrat menjadi penderma masih hidup selepas mengetahui nasib malang anak kecil berusia tiga tahun Luke Heppenstall, yang amat memerlukan ginjal.
Buat masa ini Luke mampu hidup dengan bergantung kepada mesin dialisis selepas kedua-dua ginjalnya terpaksa dikeluarkan akibat penyakit barah yang dihidapinya.
“Saya sendiri tidak pasti mengenai cara sumbangan itu dapat disalurkan tetapi apa yang pasti, saya mahu mendermakan lebihan ginjal ini kepada mereka yang amat memerlukannya, seperti Luke.”
Sehubungan itu, Moon terus menjalani beberapa ujian bagi memastikan keempat-empat ginjalnya itu berfungsi.
Bagaimanapun, biarpun dia boleh menjadi penderma, Moon tidak boleh memilih siapa yang bakal menerima organnya. Moon yang menunggu masa untuk memulakan kerjaya sebagai penasihat khidmat pelanggan, mempunyai dua ginjal berukuran 14 sentimeter dan sepasang lebihan organ itu yang berukuran 9 sentimeter.
“Saya mempunyai empat ginjal dan tidak memerlukan keempat-empatnya sekali gus. Bukankah lebih baik ia didermakan kepada mereka yang amat memerlukannya,” kata Moon.
Doktor yang mendapati lebihan organ pada remaja itu mengambil gambar organ berkenaan dan menunjukkan kepada pelajar, lapor akhbar. Malah, orang yang mempunyai tiga buah pinggang adalah kes yang dianggap biasa berbanding empat.
Sementara itu Pakar Bedah Pemindahan Organ Hospital Universiti St James di Leeds, Dr Niaz Ahmad berkata, kes membabitkan Moon sememangnya amat luar biasa.
“Amat jarang sebenarnya bagi sepasang ginjal lebihan dapat terbentuk hampir sempurna kira-kira 11 sentimeter. Apa yang dialaminya itu mungkin berlaku seorang bagi setiap sejuta orang,” katanya.
“Saya sendiri pernah melihat beribu-ribu ginjal, tetapi tidak bagi kes membabitkan empat ginjal dimiliki seorang seperti ini.”
Katanya, keadaan itu berlaku pada tahap tiga bulan pertama kehamilan apabila ginjal itu terbelah kepada dua.
“Apa lazimnya berlaku, dua ginjal lebihan itu mungkin pecah dan dikumbah menerusi pundi kencing atau mampu membesar seperti dialami Moon.”
Ginjal bukanlah satu-satunya organ yang boleh berpecah kepada beberapa melebihi keadaan biasa. Kira-kira 1,000 wanita di Britain didakwa lahir dengan dua rahim.
- Agensi