HAVANA: Presiden Cuba, Fidel Castro akhirnya melepaskan jawatan disandang beliau sejak lima dekad lalu sekali gus mengakhiri pemerintahan ikon revolusi Cuba itu. Castro, 81, dalam mesej disiarkan media rasmi berkata, beliau tidak akan menyandang jawatan Presiden lagi.
“Saya tidak berhasrat dan tidak akan menerima, saya ulangi, saya tidak berhasrat dan tidak akan menerima jawatan presiden majlis negeri dan panglima angkatan tentera,” kata Castro selepas hampir 19 bulan menderita sakit yang menyebabkan beliau terpaksa menyerahkan sementara kuasa kepada adiknya, Raul.
Bulan lalu Raul berkata Dewan Perhimpunan Kebangsaan akan memilih presiden baru Cuba pada 24 Februari berikutan spekulasi bahawa abangnya Fidel, untuk kali pertama dalam tempoh lima puluh tahun, mungkin tidak lagi dipilih. Speaker Dewan Perhimpunan Kebangsaan Ricardo Alarcon berkata walaupun Castro semakin pulih, terpulang kepada pemimpin itu untuk terus kekal sebagai presiden jika dipilih semula pada Februari.
Penganalisis meramalkan, Raul mungkin menjadi presiden berasaskan kedudukan sekarang, atau mungkin seorang anggota kanan lain dipilih menyandang jawatan itu.
Jika ini berlaku, secara teknikalnya ia bakal mengakhiri dominasi Castro di negara itu. Bagaimanapun sebilangan penganalisis lagi percaya beliau tidak lagi akan mempunyai pengaruh besar dalam pemilihan penggantinya. Walaupun kesihatan Castro lebih baik berbanding setahun lalu, ramai pemerhati di Cuba yakin beliau tidak mampu menjalankan tugas dan berkuasa penuh seperti sebelum ini.
Sebilangan penganalisis pula percaya, beliau mungkin terus menjadi ketua negara ‘di atas kertas’ dan bertindak sebagai ‘orang di belakang tabir’ sama seperti dilakukan pada revolusi 1959, ketika anggota kanan komunis menjalankan tugas seperti biasa. Sepanjang pemerintahannya pemimpin gerila revolusi dan idol komunis, Fidel Castro secara terang-terangan menyatakan tentangan terhadap Amerika dan sistem kapitalis negara itu.
Castro yang menggulingkan Fulgencio Batista dan mengambil alih kuasa pada 1959, sebelum ini pernah berkata bahawa beliau tidak bersara daripada politik, walaupun penyakit yang dihidapnya menyebabkan beliau menjauhkan diri dari khalayak ramai, pada beberapa bulan terakhir pemerintahannya. Pemimpin yang terkenal dengan imej misai dan berjanggut tebal serta curut itu akhirnya terpaksa ‘mengalah’ berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Sepanjang pemerintahannya, Castro berjaya menghalang cubaan semua musuh untuk menggulingkannya termasuk cubaan bunuh, pencerobohan yang disokong Amerika dan sekatan perdagangan yang dikenakan negara itu.
- AFP