Rabu, 27 Februari 2008

Ular sawa mengganas


Ular sawa jenis Antaresia childreni yang banyak terdapat di Queensland, Australia

Reptilia 5 meter hampir telan dua kanak-kanak di Queensland

BRISBANE: Seekor ular sawa sepanjang lima meter mengintip pergerakan seekor anjing yang dipelihara sebuah keluarga beberapa hari sebelum menelan haiwan itu di depan kanak-kanak yang ketakutan. Kanak-kanak lelaki dan perempuan, berusia lima dan tujuh tahun, sekadar melihat ular berkenaan menelan anjing kacukan Chihuahua itu Isnin lalu, di rumah mereka berhampiran Kuranda di Queensland.

Pemilik Zoo Bisa Australia di Kuranda, Stuart Douglas, berkata ular sawa itu selalunya memakan haiwan liar seperti kangaru kecil tetapi kadang kadang menjadikan haiwan peliharaan di kawasan bandar sebagai mangsa.

"Ia mengintip anjing itu selama beberapa hari. Keluarga yang memelihara anjing itu pernah melihat ular sawa itu di tempat tidur anjing mereka, yang menjadi petanda ia mahu menjadikannya sebagai mangsa.

"Mereka sepatutnya menghubungi saya ketika itu tetapi ular itu kemudian lari tetapi tiga atau empat hari kemudian, saya dihubungi untuk menangkapnya selepas anjing berkenaan mati ditelan," kata Douglas.

Ketika ketibaannya, apa yang dapat dilihat cuma kaki dan ekor anjing itu.

Pengurus zoo, Todd Rose, berkata ular sawa membelit anjing itu sehingga mati sebelum menelannya. Anjing berusia lima tahun itu lemas dalam masa beberapa minit saja.

"Wanita yang berada di situ membaling beberapa kerusi plastik ke arah haiwan itu tetapi anda harus ingat ia mengenai kira-kira 50 kilogram otot agresif," kata Rose.

Mengeluarkan anjing yang sudah separuh ditelan boleh mencederakan malah membunuh ular sawa, kata Rose, kerana gigi dan cakar tajam anjing boleh menyebabkan ia mengalami luka dalaman jika ia direnggut keluar.

"Ular itu masih menghadam mangsanya di zoo, semalam. Ia akan dilepaskan ke hutan tidak lama lagi, "kata Douglas.

Keluarga berkenaan juga percaya kucing dan tikus belanda peliharaan mereka turut menjadi mangsa ular baru-baru ini selepas hilang begitu saja.

- AP