Jumaat, 28 Mac 2008

Bahan binaan dari pokok petai


PENYELIDIK Universiti Teknologi Mara, Dr. Jamaludin Kasim menunjukkan papan serpai simen daripada pokok petai belalang yang dihasilkan bersama Marzuki di Shah Alam semalam. Gambar oleh Kosmo!

SHAH ALAM - Pokok petai belalang lazimnya tidak banyak manfaatnya selain buahnya boleh dimakan untuk dijadikan ulam, namun batang dan dahan pokok itu rupa-rupanya boleh dijadikan bahan binaan alternatif sebagai papan serpai simen.

Bahan binaan yang dihasil- kan melalui batang pokok itu sebenarnya lebih tahan dan berfungsi sebagai bahan binaan menggantikan penggunaan simen dan abestos.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang, Marzuki Abd. Rahman yang membuat penyelidikan hampir dua tahun terhadap pokok itu berkata, batang pokok itu perlu melalui proses tertentu sebelum boleh digunakan.

Katanya, antara kegunaan papan serpai pokok itu ialah sebagai bahan binaan dinding atau pembahagian untuk bangunan atau rumah.

"Papan serpai simen yang dihasilkan daripada pokok ini adalah sebagai bahan alternatif atau gantian kepada simen atau abestos dalam pembinaan bangunan atau rumah.

"Malahan papan ini juga didapati mempunyai ketahanan yang sama dengan bahan pembinaan sedia ada selain memperoleh piawai MS544," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas terpilih antara lima Pemenang Emas Pertandingan Rekacipta Penyelidikan dan Pembangunan 2008 kate- gori pembaharuan di sini semalam.

Sebanyak 343 penyertaan dari tiga kategori utama dipertandingkan pada pertandingan itu melibatkan hasil penyelidikan para pelajar, pensyarah dan kakitangan cawangan UiTM seluruh negara.

Jelas Marzuki, beliau mula berminat menyelidik fungsi batang dan dahan pokok tersebut setelah menyedari ia dibiarkan tumbuh meliar tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.

Marzuki penuntut Fakulti Kejuruteraan Awam peringkat Ijazah Kedoktoran Falsa- fah (Ph.D) berkata, proses penghasilan bahan tersebut perlu melalui beberapa peringkat sehingga ia diuji keta- hanannya.

"Semua batang dan dahan akan dihancurkan menggunakan mesin khas untuk memperoleh potongan kecil mengikut saiz ditetapkan sebelum dicampurkan dengan simen dan air.

"Kemudian, ia akan dikeraskan dalam suhu yang panas selama 24 jam dan seterusnya diuji ketahanan di kawasan terbuka dan tertutup selama beberapa minggu," jelasnya.

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
-Kosmo!