SYDNEY: Penduduk bandar terbesar di Australia ini akan hidup dalam kegelapan selama sejam malam ini dalam kempen di seluruh dunia untuk menangani masalah pemanasan global dan perubahan iklim. Sydney antara lebih 370 bandar raya di lebih 35 negara dari Fiji ke Ireland sehinggalah Kanada yang mengambil bahagian dalam kempen ‘Earth Hour’ itu, kata penganjurnya semalam.
“Kami tidak menjangka sejauh mana ia akan memberi kesan,” kata pengarah urusan Earth Hour, Andy Ridley, tapi apa yang menakjubkan ialah ia menjangkaui sempadan politik dan berlaku di tempat seperti China, Vietnam, Papua New Guinea. Ia seakan bergema dengan sesiapa juga dan semua orang.”
Penganjur ‘Earth Hour’ melihat acara itu sebagai cara menggalakkan dunia memulihara tenaga dengan menutup lampu dan peralatan elektrik lain. Pada jam 8 malam hari ini, lampu akan dipadamkan di mercu tanda Sydney, Opera House, Jambatan Harbour dan ribuan premis perniagaan dan rumah di seluruh bandar ini.
Mercu tanda di bandar lain Australia juga akan dimatikan selama sejam dan ketika jam mencecah angka lapan di seluruh dunia, lampu akan dipadamkan di Bangkok, Manila dan bandar Asia lain sebelum berpindah ke Eropah dan Amerika Utara.
Ketika semua lampu di bandar ini kemungkinan dipadamkan, kegelapan simbolik tugu peringatan, premis perniagaan dan kediaman individu sangat dinanti-nantikan penganjur.
‘Earth Hour’ adalah mengenai semua orang dan setiap organisasi daripada individu sehinggalah syarikat global, yang bersatu hati berkongsi masalah sama iaitu perubahan iklim,” kata Ridley.
“Matlamat utama saya ialah jumlah penduduk mengambil bahagian. Lebih banyak mesej dibawa, ia menggambarkan tindakan rakyat.”
‘Earth Hour’ dilancarkan tahun lalu di bandar ini dan kira-kira dua juta orang dan 2,000 premis perniagaan mengambil bahagian, kata penganjur. Mereka berkata, ia mewakili 10.2 peratus pengurangan dalam pelepasan gas rumah hijau selama sejam. Penganjur berkata, jika pengurangan itu dapat dicapai di bandar ini tahun lalu ketika ‘Earth Hour’ dikekalkan selama setahun ia akan bersamaan dengan mengeluarkan 48,616 kereta daripada jalan raya.
Perdana Menteri baru, Kevin Rudd menjadikan alam sekitar sebagai keutamaannya, menandatangani Protokol Kyoto dalam memerangi pemanasan global tidak lama selepas mengambil alih jawatan itu tahun lalu.
Bandar Australia yang sudah berjanji untuk mengambil bahagian dalam ‘Earth Hour’ kini mengadakan beberapa acara untuk dipenuhi ketiga gelap, termasuk parti pantai, permainan kad terup diterangi cahaya lilin dan teleskop yang diletakkan untuk digunakan orang awam bagi melihat langit dalam kegelapan.
- AP