Jumaat, 28 Mac 2008

Penternak jumpa logam gergasi


Gambar oleh Reuters

CANBERRA: Seorang penternak lembu di kawasan terpencil di utara Australia semalam, berkata, beliau menemui bola gergasi bahan logam yang dipercayai terjatuh daripada sebuah roket yang digunakan untuk melancarkan satelit komunikasi. Petani James Stirton menjumpai bola berbentuk pelik itu tahun lalu di atas ladang seluas 40,000 hektar miliknya, kira-kira 800 kilometer barat ke utara ibu kota Queensland, Brisbane.

Namun, Stirton hanya mula mempersoalkan apa sebenarnya bola logam itu dan dari mana ia datang sejak minggu lalu.

“Saya sedang menunggang untuk memeriksa ternakan dan saya ternampaknya di satu sudut di padang lumba kuda,” kata Stirton kepada Reuters, semalam.

“Saya banyak mengetahui mengenai ternakan, tetapi tidak banyak mengenai satelit. Namun, saya hanya mengatakan ia sel bahan api daripada sebuah roket.”

Katanya, objek itu berlubang dan dilitupi bahan serat karbon. Beliau sudah menghubungi beberapa syarikat angkasa lepas berpusat di Amerika Syarikat untuk mengetahui apa sebenarnya objek itu.

Muzium Bekalan Kuasa Sydney berkata, ia bukan perkara luar biasa bagi penduduk menjumpai sisa angkasa lepas di kawasan terpencil di Australia.
- Reuters