ISU pelantikan Menteri Besar Terengganu selesai setelah Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuaratnya kelmarin memperakukan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said bagi jawatan itu oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) negeri itu Ahad lalu. Serentak keputusan itu, mesyuarat MT Umno turut menyatakan sokongan kepada Ahmad untuk segera menubuhkan kerajaan Terengganu supaya semua program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan. Kita menyokong penuh keputusan itu demi kepentingan rakyat, kerana sudah dua minggu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12, Terengganu tiada Menteri Besar. Seperti kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebaik-baik penyelesaian berhubung pelantikan Menteri Besar yang sudah berpanjangan itu ialah untuk Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada Ahmad. Pada masa yang sama, pujian dan penghargaan harus diberi kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang membuat kenyataan terbuka bahawa beliau akan menerima serta memberi sokongan kepada sesiapa juga yang dipilih oleh MPPR menjadi Menteri Besar. Kita berharap semua 22 Adun yang sebelum ini memberi sokongan padu kepada Idris ketika membantah pelantikan Ahmad, akan turut berbuat demikian. Semua pihak termasuk rakyat Terengganu kini harus memberi sokongan padu kepada Menteri Besar yang baru tanpa perlu lagi melemparkan tuduhan atau dakwaan yang kurang enak didengar.
Rakyat Terengganu tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk golongan yang cuba menangguk di air keruh daripada isu ini, khususnya Pas, yang kononnya menyokong pelantikan Ahmad, dalam usaha untuk menambat hati pihak istana. Memang dari dulu lagi, Pas tidak pernah menyokong Umno tetapi akan berbuat demikian apabila melihat ada peluang untuk memecah-belahkan parti. Kita juga berharap tiada lagi pemasangan sepanduk di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dengan kata-kata yang penuh sindiran, menyakitkan hati dan sebagainya oleh mana-mana pihak kerana tindakan itu bukan jalan penyelesaian, sebaliknya boleh mengeruhkan lagi keadaan. Semua pihak perlu menghormati institusi, sama ada institusi diraja atau kepartian. Apabila sesuatu isu sudah berjaya ditangani dengan baik, hentikan perdebatan di situ, tanpa perlu lagi memanjangkan pelbagai cerita kononnya ‘pihak ini kalah, pihak yang satu lagi menang’. Yang penting ia sudah diselesaikan. Dalam menyelesaikan sesuatu, tentu ada perkara yang dipertimbangkan tetapi yang paling penting untuk rakyat Terengganu ialah mereka perlu ada kerajaan. Menteri Besar sekarang bukan saja belum mengangkat sumpah, malah tiada Exco.
Kita memuji MT Umno yang membuat keputusan bijak untuk memperakukan pelantikan Ahmad, kerana selagi isu itu tidak diselesaikan, bukan saja rakyat Terengganu tertunggu-tunggu malah, seluruh negara akan tertanya-tanya apa sudah terjadi. Selepas ini kita berharap Ahmad membentuk barisan Exconya secepat mungkin bagi menggerakkan semula pentadbiran kerajaan negeri yang ‘tidak berfungsi’ seperti sepatutnya sejak tiga minggu lalu. Berilah beliau peluang untuk menerajui Terengganu meskipun kita tidak boleh nafikan Idris memang membawa banyak perubahan dan pembangunan sejak menjadi Menteri Besar Terengganu sebelum ini, apatah lagi kejayaannya menawan negeri itu daripada Pas.
Berita Harian