
NEW YORK – Beberapa laman web di internet menawarkan perkhidmatan menyewa beg tangan berjenama mewah kepada orang ramai.
Butik dalam talian berkenaan beroperasi sama seperti laman web beli-belah yang sedia ada iaitu lengkap dengan gambar-gambar produk dan harga sewaan bagi memudahkan para pelanggan melayari laman web itu.
Salah satu laman web yang menawarkan perkhidmatan itu adalah “Bag Borrow or Steal” dengan tawaran harga AS$90 dolar (RM286) seminggu atau AS$229 dolar (RM728) sebulan bagi bukan ahli manakala diskaun 30 peratus diberikan kepada ahli laman web itu.
Beg tangan yang menjangkau puluhan ribu ringgit seperti Hermas turut ditawarkan melalui laman web itu di mana sebuah beg daripada kulit buaya, Kelly yang diambil sempena nama aktres legenda, Grace Kelly disewa dengan harga AS$500 dolar (RM1,591) seminggu.
Beg jenama mewah lain seperti Yves Saint-Laurent, Balenciaga, Louis Vuitton, Marc Jacobs dan Chanel juga ditawarkan kepada para pelanggan. Pelanggan itu boleh menyewa selama seminggu atau sebulan serta terus membeli beg tangan berkenaan.
– AFP