Isnin, 17 Mac 2008

Pelancong wanita akan diberikan wisel


BANGKOK - Para pelancong wanita yang melawat pulau Phuket akan diberikan wisel untuk digunakan apabila berlaku sesuatu kecemasan, kata Kementerian Pelancongan Thailand semalam.

Pengumuman tersebut dibuat dua hari selepas seorang wanita warga Sweden, Hanna Charlotta Backlund, 27, dibunuh.

Menteri Pelancongan, Weerasak Kohsurat berkata, wisel itu merupakan sebahagian daripada kempen meningkatkan tahap keselamatan di pulau peranginan popular itu selepas pembunuhan tersebut mengejutkan banyak pihak.

Backlund ditikam sehingga mati pada Sabtu lepas ketika berjalan di pantai Mai Khao, utara Phuket manakala penyerangnya masih bebas.

Seorang pegawai polis, Mejar Sathabhorn Sangaunsuk berkata, wisel keselamatan yang berbentuk simbol kaum wanita itu boleh dipakai sebagai rantai leher.

Menurut pihak berkuasa Thailand, pelan untuk memberikan wisel itu baru dirancang dan tarikh pelaksanaannya masih belum dapat dipastikan.

Selain pemberian wisel, kementerian berkenaan turut bercadang untuk meningkatkan kehadiran pengawal keselamatan di sekitar Phuket selain menerbitkan risalah keselamatan yang akan diedarkan kepada pelancong.

- AP