Isnin, 3 Mac 2008

Pemimpin Singapura jadi bahan cemuhan internet


BAHAN JENAKA: Laman blog mempersendakan pihak berkuasa Singapura dengan mengubah rupa Mas Selamat.

Kejadian ketua kumpulan JI lolos penjara dikritik hebat penulis blog

SINGAPURA: Kisah Mas Selamat Kastari, seorang tahanan tempang yang berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara di republik ini lima hari lalu, kini menjadi bahan persenda dan cemuhan di internet. Jenaka, sindiran pedas dan sendaan tersebar secara meluas di beberapa laman web, lima hari selepas Mas Selamat yang didakwa sebagai ketua kumpulan Jemaah Islamiah (JI) di Singapura berjaya melepaskan diri tanpa disedari dari sebuah pusat tahanan di negara itu.

Kritikan terbuka kepada kerajaan jarang dilakukan di media arus perdana Singapura menyebabkan rakyat republik itu yang tidak berpuas hati, beralih ke internet untuk menyuarakan pandangan mereka. 'Toilet Break, (lari ketika untuk ke tandas) berasaskan kisah benar, dibintangi Mas Selamat Kastari' antara tajuk sindiran yang dihantar seorang penulis blog diinspirasikan daripada sebuah drama televisyen Amerika yang terkenal, Prison Break.

Penulis blog, Philip Chua menulis... "Singapura kini mendapat malu besar dan benar-benar menjadi bahan ketawa antarabangsa. Anda tidak melihat tahanan melepaskan diri di Barat atau Guantanamo, apa lagi pemimpin rangkaian keganasan di negara yang berjiran dengannya."

Mas Selamat yang diberkas di Indonesia pada 2006 sebelum diserahkan kepada Singapura, masih bebas, manakala pegawai berkata, pihaknya yakin dia masih bersembunyi di republik itu. Mas Selamat dituduh merancang untuk merampas sebuah pesawat dan meletupkannya di lapangan terbang Changi pada 2001. Mas Selamat berjaya melarikan diri selepas meminta untuk pergi ke tandas pada satu lawatan keluarga.

Wartawan dan penulis, Teoh Kengze di dalam blognya, menyifatkan kejadian yang berlaku sebagai The Great Singapore Escape kerana sukar dipercayai ia boleh berlaku, selain menganggapnya satu tindakan berani dilakukan seorang tahanan. Sebuah lagi laman sindiran popular berkata, peristiwa Mas Selamat yang berjaya melepaskan diri dari pusat tahanan menunjukkan bahawa Menteri Kabinet perlu diberi kenaikan gaji sekali lagi, walaupun mereka adalah orang yang mendapat gaji paling tinggi di dunia.

"Kita perlu melengkapkan menteri kita dengan segala keperluan untuk mengendalikan krisis ini kerana seperti yang kita tahu perkhidmatan awam dan perundangan tidak memperoleh insentif secukupnya. Hanya gaji paling tinggi di dunia dapat melakukannya," kata laman itu.

Ia turut menyiarkan gambar Mas Selamat dalam pelbagai gaya, termasuk sebagai wanita memakai rambut palsu berwarna perang, gaya rambut Afro dan kaca mata hitam, bermisai dan janggut serta serban ala Osama bin Laden.

- AFP