
LOS ANGELES: Juri ‘American Idol’, Simon Cowell menolak tawaran untuk menjadi duta pil Viagra meskipun ditawarkan habuan £1 juta (RM6.7 juta). Pengulas muzik berusia 48 tahun dan suka mencetuskan kontroversi dalam program itu berkata, dia berasa terhina apabila ditanya sama ada mahu menjadi duta pil berkenaan.
“Tahun lalu, ejen saya menelefon dan memberitahu saya ditawarkan habuan besar iaitu menjadi duta Viagra. Saya berkata, maaflah kerana itu satu penghinaan besar,” kata Cowell yang dipetik akhbar New Zealand Herald.
Pada masa sama, meskipun beliau tidak perlukan bantuan di kamar ranjang, Cowell, bagaimanapun, mengakui dia menggunakan bantuan perubatan untuk kelihatan muda. Dia mengakui sering kali menggunakan suntikan Botox untuk menghilangkan kesan jerawat.
“Bagi saya, Botox tidaklah luar biasa seperti juga ubat gigi. Anda lakukannya hanya sekali setahun, siapapun tidak ambil peduli. Tetapi, saya tidak akan warnakan rambut saya sekalipun semua orang menganggap saya melakukannya,’ kata Cowell.
Dia juga membidas bintang Hollywood dengan menyifatkan aktres sekarang sebagai tidak lagi mempunyai penampilan yang seksi.
“Nicole Kidman dan Kate Bosworth, misalnya, tiada apa-apa tarikan langsung. Tiada apa yang boleh menambat hati orang termasuk untuk berangan-angan mengenai mereka. Saya suka orang lama seperti Raquel Welch dan Brigitte Bardot, sungguh menggiurkan dan nakal.
"Tetapi, saya juga suka Carla Bruni yang baru kahwin dengan Presiden Perancis. Dia mempunyai wajah yang seksi,” katanya kepada majalah Glamour.
- Agensi