LONDON: Seorang budak perempuan meninggal dunia apabila perasaan takut keterlaluan terhadap doktor gigi menyebabkan dia enggan membuka mulut walaupun untuk makan. Fobia Sophie Waller, 8, terlalu teruk sehingga dia terpaksa pergi ke hospital semata-mata untuk mencabut sebatang giginya.
Doktor memutuskan untuk mencabut semua gigi susu Waller dalam sekali rawatan, bagi mengelakkan prosedur itu dibuat lagi, tetapi selepas itu dia masih enggan membuka mulut dan terpaksa diberi makan melalui tiub.
Apabila meninggalkan Hospital Royal Cornwall di Truro, doktor berpuas hati dengan anggapan Waller semakin sembuh tetapi ibunya berkata dia enggan memakan apa-apa di rumah kecuali tembikai. Berat Waller turun mendadak dan kesihatannya semakin teruk sehingga ditemui mati di atas katil oleh ibunya sebulan kemudian.
Kelmarin, lebih dua tahun selepas kematiannya akibat kegagalan buah pinggang pada Disember 2005, ibu bapa Waller, Janet, 33 dan Richard, 35, menuntut untuk mengetahui mengapa siasatan masih belum dibuat berhubung tragedi itu.
"Apabila dia keluar dari hospital, Sophie jelas kehilangan berat badan dan amat lemah. Matanya semakin ke dalam, dia tidak boleh berjalan dan kami terpaksa mengangkatnya.
"Kemudian satu hari saya memasuki biliknya dan mendapati tubuhnya sejuk. Kami menghubungi ambulans tetapi Sophie sudah mati. Saya marah kerana tiada siasatan dibuat. Jawapan diperlukan mengenai kematian anak saya," kata Janet.
Jurucakap Hospital Royal Cornwall berkata: "Ini adalah kes amat sedih dan simpati kami bersama keluarga berkenaan.
Kami tidak boleh memberi komen menjelang siasatan tetapi akan memberi kerjasama kepada koroner."
- Agensi