Ahad, 9 Mac 2008

Tiada lagi alasan pertikai ketelusan SPR


KEPUTUSAN penuh Pilihan Raya Umum Ke-12 bukan saja memeranjatkan Barisan Nasional (BN) yang hanya mampu membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah, malah pembangkang sendiri bagaikan tidak percaya dengan prestasi luar jangkaan itu. Semuanya ditentukan kira-kira 10.9 juta pengundi yang membuat pilihan dan memperlihatkan pola baru corak pengundian dalam pilihan raya akan datang. BN yang sebelum ini menguasai Parlimen, memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang memperoleh 82 kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) 31 kerusi, DAP (28), manakala Pas (23). Pembangkang turut berjaya membentuk kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, selain kekal di Kelantan.

Bagi pembangkang, apa yang mereka peroleh sebahagiannya tidak dijangkakan langsung. Begitu juga kekalahan pemimpin kanan parti komponen termasuk menteri dan timbalan menteri. Hanya selepas pengiraan undi, semuanya jelas memihak kepada kehendak pengundi yang menunaikan tanggungjawab demokrasi. Ini adalah pertama kali dalam sejarah, BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga serta kehilangan lima negeri kepada pembangkang.

Apapun, rakyat sudah membuat keputusan dan semua pihak harus menerima kehendak rakyat dengan hati terbuka. Apa yang penting, walaupun ada sedikit masalah ketika proses pengundian di beberapa kawasan tertentu, semuanya berjalan lancar.

Ini menunjukkan penduduk rakyat negara ini sudah matang dalam proses pilihan raya dan mengelak unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat. Pembangkang juga bertindak bijak apabila mengelak daripada mengadakan sambutan kemenangan besar-besaran seperti perarakan yang boleh mencetuskan huru-hara. Malah, keputusan pilihan raya kali ini membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telus dan adil dalam mengendalikan pilihan raya, berbeza daripada dakwaan pembangkang sebelum ini.

Yang ketara, sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, sokongan pengundi kepada pembangkang bertambah. Selain mengekalkan satu negeri, empat negeri lain kini ditadbir oleh pembangkang. Melihat kepada prestasi BN, kegagalan parti komponennya terutama di Semenanjung dalam pilihan raya kali ini, memerlukan pemimpin mereka bermuhasabah diri, menilai kekurangan dan hala tuju parti selepas ini.

Mungkin sebelum ini, banyak perkara tidak diketahui pucuk pimpinan menyebabkan mereka tidak dapat melihat senario di bawah. Kita berharap semua parti komponen BN, dalam bedah siasat selepas ini, mengkaji punca kehilangan sokongan itu dengan jujur.

Berita Harian