Selasa, 25 Mac 2008

Tuah menyebelahi lelaki tertinggi dunia


LELAKI tertinggi di dunia, Leonid Stadnik dari Ukraine terpaksa meletakkan jawatan yang diminatinya dan menghabiskan banyak masa di rumah kecilnya kerana dia tidak boleh menaiki bas atau kereta.

Bagaimanapun, Stadnik yang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai lelaki tertinggi di dunia menyatakan keadaan dirinya itu menyebabkan dia mengetahui bahawa dunia dipenuhi dengan ramai penduduk berhati baik.

Sejak diiktiraf sebagai lelaki tertinggi dunia di negaranya empat tahun lalu dan Guinness pada tahun lalu, orang ramai dari Ukraine dan dunia menghantar kepada dia pakaian, basikal dan yang terbaru sebuah kereta.

Kereta yang diperolehnya itu adalah ihsan Presiden Ukraine, Victor Yushchenko.

"Terima kasih kepada orang-orang berhati baik kerana saya memperoleh pakaian dan kasut," kata Stadnik yang berumur 37 tahun dan bekas veterinar yang masih tinggal bersama ibunya yang berumur 66 tahun.

Pada 2006, Stadnik diisytiharkan secara rasmi mempunyai ketinggian 2.57 meter mengatasi seorang lelaki China untuk mendapat gelaran sebagai lelaki tertinggi di dunia.

Ketinggiannya meningkat sejak dia berumur 14 tahun selepas dia menjalani satu pembedahan otak sekali gus merangsangkan hormon pembesarannya.

Walaupun ketinggiannya itu dianggap memberi gangguan terhadap dirinya, Stadnik masih mampu menarik perhatian tetamu dengan memberi senyuman dan ketawa seperti kanak-kanak.

Kadang-kadang dia kelihatan seperti seorang budak lelaki yang terperangkap dalam tubuh gergasi.

Ketinggian Stadnik itu menjadikan dia mendapat perhatian di seluruh dunia tetapi ia masih menjadi satu bebanan terhadap dirinya.

Semua pintu di rumahnya adalah terlalu rendah untuk dia sehingga menyebabkannya terpaksa berhenti dan tunduk sebelum melepasinya.

Berat badannya sebanyak 200 kilogram memberi tekanan terhadap lututnya sehingga mencetuskan kesakitan.

Namun, Stadnik meyayangi haiwan tetapi dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai veteriner di sebuah ladang lembu di sebuah kampung dekat rumahnya.

Tindakan itu dilakukan selepas dia menghadapi reput fros ketika bekerja dalam musim sejuk.
Dia juga tidak mampu mencari kasut yang sesuai dengannya.

Bagaimanapun, populariti yang dikecapinya kerana ketinggian itu menyebabkan dia mendapat ramai rakan di seluruh dunia sekali gus mengajarnya supaya tidak kecewa.

Seorang lelaki Jerman yang mendakwa sebagai saudaranya mengundang Stadnik untuk melancong beberapa tahun lalu.

Dalam lawatan itu, dia dapat melihat sebuah rollercoaster di sebuah taman permainan buat pertama kalinya.

Ketika melancong, dia melihat terdapat sebuah komputer baru di atas mejanya iaitu hadiah daripada sebuah syarikat pembekal perkhidmatan internet.

Stadnik bergurau dengan menyatakan bahawa pekerja-pekerja syarikat pembekal itu menyusup masuk ke rumahnya seperti perisik untuk memasang komputer tersebut.

Sejak itu, dia memperoleh ramai rakan di internet termasuk beberapa orang di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Rusia.

Stadnik berharap dia akan mempelajari bahasa Inggeris bagi membolehkannya berkomunikasi dengan lebih baik.

Pada Ahad lalu, sebuah pertubuhan untuk golongan kurang upaya menghadiahkannya sebuah basikal gergasi bagi membolehkan dia mengayuh ke kedai.

Pihak berkuasa di kampungnya juga bersetuju untuk memberinya minyak secara percuma setelah dia memperoleh sebuah kereta dari Presiden Ukraine.

Sejak meletakkan jawatan, dia menumpukan perhatian menguruskan sebuah taman milik keluarga dan menjaga tiga ekor lembu, seekor kuda dan ayam.

Dia berkata, impiannya sekarang adalah mencari seorang teman hidup sama seperti bekas pemegang gelaran lelaki tertinggi dunia, Bao Xishun dari China yang sudah berkahwin pada tahun lalu.

- AP