Selasa, 25 Mac 2008

Gadis 22 tahun bakal warisi RM4.14 bilion


LONDON - Seorang gadis Britain berumur 22 tahun, Fawn James kini bakal mewarisi kekayaan milik datuknya, Paul Raymond yang berjumlah berjuta-juta pound sterling, lapor sebuah akhbar semalam.

Fawn yang masih menuntut di sebuah universiti bakal menerima kekayaan itu selepas datuknya itu meninggal dunia baru-baru ini.

Gadis itu mewarisi wajah ibunya dan kehidupannya adalah seperti golongan muda lain dengan memakai jaket, jean lusuh dan sibuk dengan urusan di universiti.

Bagaimanapun, adiknya yang berumur 16 tahun iaitu India James juga dijangka akan menjadi pewaris kekayaan datuk mereka itu.

Mewarisi harta kekayaan yang dianggarkan bernilai £650 juta (RM4.14 bilion) itu akan menjadikan Fawn sebagai antara wanita terkaya di Britain.

Bagaimanapun, harta kekayaan yang ditinggalkan oleh datuk mereka itu adalah hasil usahanya memajukan industri hiburan lucah di Soho, Britain.

- Agensi