Selasa, 25 Mac 2008

Parlimen Indonesia lulus undang-undang halang pornografi di internet


Muhammad Nuh

JAKARTA – Anggota-anggota Parlimen Indonesia semalam meluluskan rang undang-undang berhubung hukuman penggunaan dan penyebaran laman web pornografi.

Undang-undang berkenaan akan dikuatkuasa apabila ia diwartakan dan sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh dihukum penjara tiga tahun atau dikenakan denda sehingga AS$107,000 (RM342,163).

Menteri Komunikasi dan Maklumat, Muhammad Nuh berkata, salah satu sebab undang-undang tersebut diwujudkan adalah bagi melindungi pengguna internet yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan pengguna muda.

Satu program akan dilancarkan pada bulan depan dengan memberikan kemudahan mengakses internet secara percuma kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.

Program itu dijangka menjadikan pertambahan pengguna-pengguna internet sebanyak dua kali ganda kepada 50 juta orang Muhammad berkata, beberapa sekolah turut bercadang untuk menyekat penggunaan dan penyebaran laman web porno di sekolah-sekolah menerusi kerjasama dengan beberapa pengendali perkhidmatan internet.

– AP