Rabu, 26 Mac 2008

Hubungan baik Pusat, negeri rancakkan pembangunan


LANGKAH kerajaan meneruskan agenda pembangunan bagi mengekang masalah yang dihadapi rakyat berpendapatan rendah di seluruh negara sudah pasti melegakan banyak pihak mengenai kemungkinan kenaikan harga minyak dan gas seperti yang dicanang pembangkang pada kempen pilihan raya umum lalu. Malah, pengumuman kerajaan bahawa harga bahan petroleum terus kekal walaupun kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang besar membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat. Tindakan itu dilihat dapat meredakan sekali lagi gelombang peningkatan harga barang keperluan, yang akan timbul jika harga petrol terus melepasi AS$100 setong. Apa pun, kita bersyukur kerana harga barang keperluan harian selepas pilihan raya umum lalu kelihatan agak stabil, walaupun kadar inflasi menunjukkan sedikit peningkatan. Langkah kerajaan mengekalkan harga minyak pada paras sedia ada, dijangka dapat membantu rakyat negara ini untuk menyusun strategi baru bagi membantu menangani masalah kehidupan rakyat berpendapatan rendah.

Bagi kita, kesanggupan kerajaan mengakui kesilapan lalu, terutama kesan kenaikan harga minyak dan barang keperluan menyebabkan sebilangan rakyat kecewa dan memberi peluang kepada pembangkang untuk bertapak dan memerintah di beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu, cukup kita hargai. Menyedari kesilapan lalu, kerajaan merangka pembaharuan dan pendekatan baru dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional. Agenda yang mengandungi tiga langkah segera bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah, dilihat mampu dilaksanakan dengan lebih telus, sesuai dengan pelantikan ramai muka baru yang menganggotai barisan Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, minggu lalu.

Dalam pada itu, langkah kerajaan untuk meneruskan pembangunan, termasuk pembangunan wilayah yang dirancangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di negeri yang dikuasai pembangkang memang wajar kerana rata-rata penduduk di kawasan berkenaan masih memerlukan bantuan Kerajaan Pusat untuk membaiki tahap sosioekonomi mereka, malah negeri yang dikuasai pembangkang juga bergantung kepada Kerajaan Pusat untuk terus membangun. Berikutan itu, kenyataan Perdana Menteri untuk meneruskan hubungan kerja yang produktif dengan semua kerajaan negeri, dijangka memancarkan suasana baru dalam hubungan Kerajaan Pusat dengan negeri yang ditadbir kerajaan campuran. Sekiranya ia berterusan rakyat akan memperoleh manfaatnya, sekali gus dapat menilai keupayaan kerajaan untuk memberi pembangunan yang adil kepada semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik. Selain itu, langkah kerajaan untuk memberi keutamaan bagi mengurangkan kadar jenayah yang dilaporkan serius di seluruh negara, turut dipandang serius terutama selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin memberi komitmen untuk mengatasi masalah berkenaan.

Apa yang penting, projek pembangunan untuk rakyat perlu diteruskan dan ini janji kerajaan. Berikutan itu, kita berharap agensi kerajaan yang terbabit dalam melaksanakan projek pembangunan mega perlu bersikap adil dan telus. Pada masa sama, rakyat perlu memberi sedikit masa kepada kerajaan bagi membolehkan semua yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual. Dalam suasana politik yang berubah sekarang, negeri yang dikuasai kerajaan campuran perlu lebih realistik dalam hubungan dengan Kerajaan Pusat. Sewajarnya salam persahabatan yang dihulurkan Perdana Menteri untuk berbaik dengan semua kerajaan negeri, perlu dijadikan asas bagi menjamin rakyat dapat menerima manfaat dan hidup dalam suasana harmoni.

Berita Harian