
BANGKOK: Kuil Buddha di tengah Thailand dibanjiri dengan kucing dan anjing terbiar selepas satu wabak yang membunuh beratus-ratus binatang peliharaan itu bulan lalu. Sebuah kuil di wilayah penanaman padi Phichit, 350 km ke utara Bangkok terpaksa meletakkan papan tanda meminta pemilik binatang ternakan itu tidak ‘membekalkan’ rumah ibadat itu dengan anjing dan kucing.
“Wat Bung sudah mempunyai anjing dan kucing yang mencukupi,” kata satu papan tanda di rumah ibadat itu yang disiarkan melalui halaman web akhbar.
“Kami lebih mengharapkan batu, bata, pasir, simen atau cat bagi pembinaan kuil ini,” kata papan tanda berkenaan.
Setiap kuarters tempat tinggal 50 sami dikongsi dengan dua hingga lima ekor kucing, lapor akhbar Bangkok Post yang memetik seorang sami di kuil itu di mana ia turut menjadi tempat pembuangan ternakan burung ketika wilayah itu dilanda wabak selsema burung.
Keadaan itu memaksa Perdana Menteri Samak Sundaravej yang sayangkan kucing dan beberapa agensi kerajaan lain meminta orang ramai untuk mengambil semula bintang peliharaan mereka di kuil dan memberi vaksin kepada mereka.
- Reuters