
Narathiwat, Thailand
Layanan buruk tentera Thailand didedah
BANGKOK: Sebuah pemantau hak kemanusiaan antarabangsa semalam berkata kematian dan penderaan seorang guru agama Islam Thailand dalam tahanan tentera menunjukkan layanan buruk terhadap penduduk Islam di wilayah Selatan Thailand. Human Rights Watch berkata, Yapa Koseng, seorang imam berusia 56 tahun ditahan 19 Mac lalu kerana disyaki terbabit dalam pengeboman pemisah di wilayah selatan Narathiwat dan dua hari kemudian saudara yang melawat mangsa dimaklumkan beliau meninggal dunia.
Mayat Yapa dipenuhi kecederaan dan tanda dibakar, manakala pehanya patah," kata kumpulan hak asasi yang berpejabat di New York dalam satu kenyataan.
Jurucakap tentera, Kolonel Thanathip Sawangsaeng, berkata satu siasatan terhadap kematian Yapa sedang dijalankan tetapi pemeriksaan awal menunjukkan beliau mati kerana masalah kesihatan sendiri. Katanya, mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Pihak tentera tidak akan menutup sebarang salah laku pegawainya yang didapati bersalah," katanya sambil menambah tiada siapa yang mengaku bersalah.
Penduduk Islam sejak sekian lama mengadu layanan buruk dan diskriminasi di Selatan Thailand di mana pemberontakan meragut nyawa lebih 2,900 orang sejak 2004.
"Penduduk Islam di selatan Thailand tinggal dalam ketakutan terhadap serangan tentera yang akan melarikan mereka untuk didera," kata Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adams.
"Tentera sedang melancarkan operasi terhadap pemisah tetapi tidak bermakna askar berkenaan boleh mendera penduduk."
Human Rights Watch berkata ia bimbang dengan kejujuran pengakuan tentera bahawa satu siasatan terhadap kematian imam itu akan dilakukan. Keluarga Yapa dimaklumkan pakar forensik menjalankan bedah siasat tetapi mereka tidak dibenarkan untuk melihat laporan itu.
Kejadian tembakan bermotosikal dan pengeboman berlaku hampir setiap hari di Narathiwat, Yala dan Pattani.
- AP