MEMANG sesuatu yang mudah untuk memperkatakan bahawa sistem demokrasi menuntut kebebasan ahli sesebuah parti politik untuk bersuara. Juga tidak sukar untuk mendakwa bahawa sistem kuota pencalonan bagi bertanding pelbagai jawatan dalam parti, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dikekal atau dihapuskan. Bagaimanapun, tidak semudah itu untuk memperbaiki balik segala kerosakan yang berlaku dalam parti berikutan perpecahan apabila tercetus pertandingan, terutama membabitkan peringkat atasan. Oleh itu, ahli Umno perlu membuat kajian mendalam, baik dan buruk apabila membicarakan isu sama ada sistem kuota pencalonan perlu dikekal atau dimansuhkan. Hanya ahli parti pada peringkat akar umbi boleh membuat keputusan itu menerusi saluran perhimpunan agung khas. Perhimpunan agung khas atau luar biasa pula hanya boleh diadakan jika lebih separuh daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara, bersetuju mengadakannya. Bagaimanapun, perkara itu hendaklah terlebih dulu dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) parti. Jika MT Umno bersetuju, maka ia boleh arahkan supaya Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan membuat kajian lanjut. Kemudian, barulah timbul soal mengadakan perhimpunan khas untuk membincangkannya sama ada perwakilan bersetuju atau tidak.
Sistem kuota ini diperkenalkan Umno pada 1988 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden parti. Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata, Umno seharusnya memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan presiden parti. Tengku Razaleigh Hamzah sudah secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan Umno yang dijadualkan Disember ini. Setakat ini, pemimpin Umno berbelah bahagi, ada yang mahu kaedah itu diteruskan dan tidak kurang pula yang mahukannya dimansuhkan. Tentu ramai yang masih ingat nama Sulaiman Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sulaiman Palestin, bekas Ketua Penerangan Umno yang ketika hayatnya memecah tradisi Umno apabila bertanding jawatan presiden menentang Allahyarham Tun Hussein Onn pada 1978. Walaupun daripada awal Sulaiman dijangka tewas, dengan hanya meraih 250 undi, berbanding Hussein yang mendapat 898 undi, kesannya amat mendalam apatah lagi tradisi dalam Umno dipecahkan. Ketika itu tiada sistem kuota dan sesiapa saja yang mendapat pencalonan daripada mana-mana bahagian untuk bertanding hingga jawatan presiden sekalipun dibenarkan.
Ini menimbulkan kerisauan ahli parti sehingga sekarang kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno, yang lazimnya juga membawa kepada jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri, adalah perkara serius kepada kepentingan negara, bukan jawatan presiden kelab kembara atau persatuan ibu bapa. Oleh itu, masih ramai berpendapat sistem kuota pencalonan tetap relevan demi kepentingan parti, bukan individu. Sebab itulah pemimpin Umno yang merajuk dan meninggalkan parti gagal menubuhkan parti baru yang boleh menyaingi kekuatan Umno. Datuk Onn Jaafar, Aziz Ishak dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah antara contoh bekas pemimpin Umno yang popular, tetapi kecundang selepas meninggalkan Umno. Daripada jawatan presiden hinggalah ke ketua cawangan semuanya pernah berlaku pertandingan. Tun Hussein Onn pernah dicabar Sulaiman dan Dr Mahathir pernah dicabar Tengku Razaleigh. Tun Ghafar Baba mencabar Tun Musa Hitam dan Musa mencabar Ghafar, begitu juga antara Ghafar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semuanya sudah berlaku, tetapi Umno tetap kukuh dan kuat.
Berita Harian