Ahad, 30 Mac 2008

Usah sampai rakyat Sabah berasa terpinggir


PERTEMUAN pemimpin Barisan Nasional (BN) dari Sabah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya, kelmarin dilihat sebagai langkah positif bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan parti dan pengagihan kerusi Kabinet kesan daripada keputusan pilihan raya umum, baru-baru ini. Pertemuan dari hati ke hati itu memberi impak positif berbanding pendedahan secara terbuka yang mengundang kesan negatif banyak pihak. Menerusi pertemuan itu, Perdana Menteri dapat mendengar sendiri keluh kesah dan sentimen wakil rakyat dan penduduk Sabah kerana pilihan raya umum lalu memperlihatkan BN Sabah memberi sumbangan besar kepada kemenangan kerusi Parlimen bagi pembentukan kerajaan baru. Masalah timbul berikutan tindakan Datuk Anifah Aman enggan menerima jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Abdul Ghapur Salleh, melepaskan jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. BN Sabah menang 24 dari 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, namun hanya memperoleh tiga jawatan menteri dan tiga timbalan menteri, manakala Sarawak yang menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen diagihkan dua jawatan menteri dan sembilan timbalan menteri. Tindakan kedua-dua pemimpin Umno Sabah itu, dianggap sesetengah pihak sebagai reaksi kurang senang terhadap kerajaan yang seolah-olah tidak memberi pengiktirafan di atas kemenangan besar BN di Sabah. Namun, Perdana Menteri mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak menambah kuota anggota Kabinet baru dari Sabah.

Kita berpendapat, apa juga tindakan untuk menyelesaikan masalah, perlu disokong kerana ia dapat mengurangkan keresahan rakyat. Malah, langkah Perdana Menteri bertemu dan berbincang dengan semua pemimpin Sabah untuk mendengar pandangan mereka, amat dialu-alukan. Kita sedar Sabah dan Sarawak menyumbang kerusi Parlimen terbanyak, bagi membantu kemenangan BN, pemimpin dan penduduknya juga mengharapkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka. Mungkin selama ini, sebahagian penduduk kedua-dua negeri itu beranggapan Kerajaan Pusat kurang memberi perhatian kepada mereka. Walaupun Perdana Menteri tiada niat mengabaikan mereka, persepsi itu masih ada. Jadi tidak hairan kalau pemimpin terbabit, khususnya Umno dan komponen BN lain di Sabah mahu mereka mendapat sedikit perolehan hasil kemenangan besar BN di negeri itu. Sudah sampai masanya, pemimpin dan penduduk di Semenanjung melihat sesuatu yang positif, berhubung keluhan dan pandangan saudara kita di Sabah dan Sarawak yang mahu melihat pembangunan di negara ini diagihkan secara seimbang selain pandangan mereka diambil perhatian.

Selain pertemuan di Putrajaya, Perdana Menteri, juga dilaporkan akan ke Sabah dalam tempoh terdekat untuk mendengar sendiri pandangan daripada pemimpin BN negeri berhubung kemelut yang timbul. Kita yakin, semua masalah dapat diselesaikan menerusi perbincangan, bukan mengenakan tekanan yang boleh menimbulkan suasana tidak sihat. Pihak yang berkepentingan sentiasa mencari peluang untuk mengeruhkan lagi keadaan. Inilah yang perlu dielak pemimpin BN di negeri terbabit, bagi memastikan keadaan politik di negeri terbabit sentiasa stabil, bagi membolehkan pembangunan dirancang dapat terus dilaksana. Sehubungan itu, kemelut yang timbul selepas pilihan raya umum yang sudah berlarutan perlu ada titik penyelesaian. Rakyat mahu menikmati kehidupan seperti sebelum ini, tanpa menjejaskan perpaduan, kemakmuran dan kestabilan politik negara.

Berita Harian