Rabu, 2 April 2008

12 teks al-Quran digital ditolak


LULUS: Harussani menunjukkan VCD yang diluluskan oleh LPPPQ untuk dijual kepada orang ramai. - gambar oleh Berita Harian

LPPPQ kesan terlalu banyak kesalahan ejaan, baris bacaan, tanda ayat

SEPANG: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) menolak 12 permohonan bacaan pruf akhir al-Quran teks dan digital kerana terlalu banyak mengandungi kesalahan ejaan, baris bacaan dan tanda ayat. Pengerusinya, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata ada antara permohonan mempunyai sehingga 2,000 kesalahan sedangkan LPPPQ hanya meluluskan pembetulan terhadap 90 kesalahan.

"Bagi pencetak yang melakukan terlalu banyak kesalahan, kita langsung tidak benarkan untuk edaran. Bagi al-Quran digital pula, kita tidak luluskan walaupun hanya satu atau dua kesalahan.

"Kalau naskhah al-Quran tidak banyak kesalahan, kita boleh minta buat pembetulan, tetapi kalau digital, pembetulan tidak boleh dibuat kerana akan rosakkan semua. Kita juga akan minta syarikat terbabit buat semula," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat LPPPTQ di sini, semalam.

Harussani berkata, LPPPQ juga sedang menyiasat untuk mengenal pasti syarikat pencetak al-Quran yang menghantar naskhah salah cetak ke sebuah kilang tisu di Perak untuk dilupuskan.

Beliau berkata, pemantauan pada 3 Mac lalu hasil aduan orang awam baru-baru ini mendapati ada kertas yang mengandungi ayat al-Quran di kilang tisu itu.

"Kita amat dukacita apabila ada pencetak al-Quran yang menjual naskhah al-Quran yang tidak menepati peraturan, disalah cetak atau rosak kepada syarikat luar yang tidak mendapat sebarang kelulusan melupuskannya.

"Perbuatan ini jelas menghina al-Quran. Kita sedang menyiasat untuk mengenal pasti syarikat yang menjual naskhah al-Quran berkenaan," katanya.

Harussani berkata, syarikat atau individu terbabit boleh didakwa mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran mengikut Seksyen 11 dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Katanya, pelupusan al-Quran yang mempunyai kesilapan cetakan hanya boleh dilakukan Jabatan Agama Negeri, KDN atau orang perseorangan yang mendapat kelulusan dan dilakukan secara terhormat iaitu dibakar dan abu ditanam atau ditabur ke laut.

"Dalam proses pelupusan kita tidak boleh benarkan bukan Islam membakarnya. Ia perlu dilakukan orang Islam kerana khuatir mereka melakukannya tidak mengikut tatacara yang ditetapkan. Kita perlu bakar al-Quran itu sehelai demi sehelai supaya mudah terbakar. Kita tidak boleh campakkan satu naskhah (al-Quran) terus dalam api," katanya.

INFO: Teks al-Quran yang ditolak

*Islamic Encyclopedia Digital al-Quran Cakera Padat (CD) oleh La Tahzan Resources Sdn Bhd

*al-Quran 30 juzuk Bacaan Imam Madinah oleh Next-Q Technologies Sdn Bhd

*Syaamil al-Quran bersaiz 13.5 X 9.5 sentimeter

*Syaamil al-Quran bersaiz 21.5 X 14.5 sentimeter

*Syaamil al-Quran bersaiz A4

*Tafsir al-Quranul al-Karim oleh Victory Agency bersaiz 10 X 15.5 sentimeter

*Tafsir al-Quranul Karim oleh Victory Agency bersaiz 13 X 19 sentimeter

*Tafsir al-Quranul Karim oleh Victory Agency 15.5 X 22.5 sentimeter

*al-Quran Digital Model AL-OK 777SH oleh Khalifa Technology Sdn Bhd

*Al-Huda 80 (QC 735) oleh Omar Salleh

*Belajar Muqaddam oleh al-Tasneem Sdn Bhd

*Kaedah Sistematik Membaca, Melancar dan Menghafaz Juz Amma oleh Prospecta Printers Sdn Bhd

Oleh Mohd Hamizar Hamid
Berita Harian