Khamis, 3 April 2008

Boikot cara terbaik tangani isu Fitna


Geert Wilders

UMAT Islam di seluruh dunia sememangnya mempunyai sebab untuk marah apabila seorang Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders, menerbitkan filem pendek bertajuk Fitna baru-baru ini yang menghina agama Islam dan al-Quran serta mengaitkannya dengan keganasan. Selain itu, filem berkenaan turut menyelitkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang pernah disiarkan berkali-kali oleh akhbar di negara itu. Seperti tajuknya, filem itu sebenarnya bersifat menghasut dan memfitnah agama Islam dalam kalangan orang bukan Islam. Ia menonjolkan ayat al-Quran yang memerintahkan umatnya supaya berjihad dengan orang kufur. Namun filem itu tidak menceritakan bagaimana orang kufur menentang umat Islam dan cuba menghapuskan umat Islam. Seperti yang dikatakan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria kelmarin, penerbit filem itu dengan sengaja memetik kalimah al-Quran yang mengajar umat Islam membunuh dan memancung seolah-olah itulah perkara sebenarnya sedangkan ayat itu tidak ditunjukkan sepenuhnya. Oleh itu, kita memahami kenapa tindakan Wilders itu membangkitkan kemarahan umat Islam sejagat.

Pada lewat 1980-an, buku Satanic Verses tulisan Salman Rushdie yang juga menghina agama menerima bantahan umat Islam di seluruh dunia sehingga ada yang bertindak membakar buku berkenaan. Petualang ini sebenarnya mencetuskan suasana yang keruh supaya umat Islam bertindak di luar batasan sehingga lebih mudah bagi mereka memfitnah dan menggambarkan bahawa sememangnya umat Islam itu pengganas dan akhirnya semua orang Islam dilihat dengan pandangan serong dan dianggap berpotensi pada bila-bila masa untuk menjadi pengganas. Dalam menghadapi anggapan yang salah ini, adalah wajar kita menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mencemarkan lagi nama baik umat Islam. Tindakan membakar bendera, menjerit-jerit, mengancam membunuh dan tindakan agresif lain bukan cara kita kerana Islam menganjurkan kedamaian, perpaduan dan kesejahteraan. Justeru, tindakan memboikot barangan keluaran mereka adalah lebih berkesan kerana ia boleh memberi kesan secara langsung ke atas kedudukan ekonomi negara berkenaan.

Dalam isu terbaru ini, sudah tentulah tindakan untuk memboikot barangan buatan Belanda sebagai tanda bantahan terhadap penerbitan filem Fitna ini adalah satu tindakan paling wajar buat masa ini. Jika 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia bersatu dan memboikot barangan Belanda secara serentak, sudah pastinya negara berkenaan akan menerima kesannya dari segi ekonomi dan ini akan menjejaskan sebahagian besar produk yang dikeluarkannya, sekali gus memberinya kesedaran supaya jangan terlalu mudah menghina bangsa atau agama lain. Dalam menghadapi kemelut ini, kita menyanjung sikap pasar raya tertentu di negara ini yang sanggup mempamerkan amaran kepada pelanggan supaya memboikot barangan Belanda. Tindakan mereka sanggup mengetepikan keuntungan demi kepentingan dan kesucian agama Islam harus dipuji. Jika ada peniaga yang sanggup berbuat demikian, orang ramai juga harus menunjukkan komitmen masing-masing dalam menegakkan kesucian agama dan tindakan ini adalah lebih baik daripada menunjuk perasaan atau membakar bendera di depan kedutaan seperti dilakukan sebelum ini. Pandangan serong Barat terhadap umat Islam perlu diperbetulkan dan mereka harus diberikan pemahaman keganasan bukan hak mutlak umat Islam, tetapi turut dilakukan oleh bukan Islam, malah lebih kejam lagi seperti yang kita lihat berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan dan negara Islam lain. Begitu juga di Ireland Utara yang mana berlaku keganasan bertahun-tahun lamanya sebelum puak Kristian yang bertelagah di republik itu mencapai perdamaian.

Berita Harian