Isnin, 7 April 2008

Henti kritikan terbuka demi perpaduan

SELEPAS diasak serta dikecam hebat sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin membalas balik, satu tindakan yang jarang dilakukannya. Perdana Menteri menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing. Mungkin benar andaian sesetengah pihak bahawa Anwar dan Tengku Razaleigh masih mengidam kuat kerusi Perdana Menteri dan mereka melihat sekarang masa paling sesuai untuk mengejar matlamat itu dalam keadaan kepemimpinan Umno yang dilihat 'lemah' oleh sesetengah pihak selepas dikejutkan oleh keputusan pilihan raya umum lalu. Abdullah yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu. Sememangnya, Abdullah yang juga Presiden Umno wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Umum mengetahui Dr Mahathir sering mengkritik Abdullah dengan pelbagai tuduhan seolah-olah bekas Perdana Menteri itu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Sudah tentu seseorang pemegang jawatan tidak akan rasa selesa untuk mentadbir, malah berasa terganggu jika sentiasa dikritik dan pastinya Dr Mahathir ketika menyandang jawatan Perdana Menteri sebelum ini turut berasa demikian jika hari-hari dikecam.

Pastinya Dr Mahathir tidak berasa selesa ketika dikritik hebat oleh Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra sebelum ini, walhal ketika itu Dr Mahathir sedang mentadbir negara. Malah, ketika prestasi Umno merosot pada Pilihan Raya Umum 1999, memang wujud desakan supaya Dr Mahathir meletak jawatan dan begitu juga ketika beliau menang tipis selepas dicabar hebat oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Presiden Umno sehingga parti itu diharamkan pada 1988. Ketika itu, Dr Mahathir berkata bahawa beliau tidak akan meletak jawatan, walaupun menang satu undi. Tetapi, orang Umno dan BN ketika itu terus memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk muhasabah diri dan memulihkan parti. Ketika giliran Abdullah pula berdepan dengan kemelut politik seperti sekarang, Dr Mahathir sepatutnya melontarkan idea bagaimana untuk memulihkan parti, bukan semata-mata mendesak Perdana Menteri meletak jawatan. Abdullah perlu diberi ruang dan peluang untuk memulihkan kembali Umno dan BN, seperti juga peluang dinikmati Dr Mahathir sebelum ini. Cara paling baik ialah memberi idea bagaimana merampas kembali negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dan Umno perlu dipulihkan sepenuhnya bagi tujuan itu, bukan mengecam individu dalam parti kerana kesannya bagaikan membuka pekung sendiri di khalayak umum.

Tidak salah bagi semua bekas pemimpin dan pemimpin kanan Umno sekarang bersemuka di meja rundingan untuk merungkaikan segala permasalahan secara tertutup daripada membiarkan kritikan dilempar secara terbuka sekali gus memberi sumbangan kepada 'kekuatan' pembangkang. Buat sementara ini, cara paling baik dan mulia ialah semua pihak, termasuk Dr Mahathir berhenti mengkritik kepemimpinan atau menggesa Abdullah meletak jawatan. Dalam kesedihan orang Umno dan kegembiraan pembangkang kerana kemenangan besar, renunglah sejenak akan nasib ketuanan bangsa Melayu. Politik kepartian berasaskan kepentingan orang Melayu tidak harus dinodai oleh orang lain, biarpun berbeza fahaman politik.

Berita Harian