
RIBUAN bangkai burung tersadai di pesisiran Tasik Great Salt sehingga mencetuskan kekecohan apabila dikaitkan dengan virus maut influenza.
"Kami menerima banyak panggilan dan semua orang bimbang dijangkiti dengan virus influenza," kata Leslie McFarlane, koordinator hidupan liar di Bahagian Sumber Hidupan Liar (DWR) Utah, Amerika Syarikat.
Yang boleh dipastikan setakat ini ialah burung yang mati itu bebas daripada jangkitan selesema burung yang telah membunuh lebih daripada 15,000 burung di tasik itu pada tahun lalu. Secara kebetulan, air masin mengawet burung-burung tersebut walaupun sudah berbulan mati.
McFarlane dalam pada itu memberi jaminan bahawa mereka mengawasi burung-burung tersebut dengan lebih waspada agar bakterianya tidak mengancam haiwan mahupun manusia kerana ia bukan lagi pembawa jangkitan. DWR menyedari kematian besar-besaran itu sejak musim luruh yang lalu.
"Ia mati di tengah-tengah tasik dan tidak ada akses atau laluan lain untuk sampai kepada bangkai-bangkai burung ini.
"Bangkai itu kini terdampar di pesisiran pantai selepas dihanyutkan air," ujarnya.
Menurutnya, pihaknya tidak bercadang untuk membersihkan kawasan tasik kerana bangkai itu boleh berada di mana-mana sahaja.
Lagipun, katanya, DWR kekurangan kakitangan. Tambahnya, apabila suhu meningkat, bangkai burung ini dijangka akan reput dalam masa sehari atau dua hari.
Beliau percaya kematian kira-kira 15,000 ekor burung pada tahun lalu tidak mengancam populasi ratusan ribuan burung yang migrasi dari tempat lain ke tasik tersebut.
-Kosmo!