
KATA orang, kecantikan itu bergantung kepada sesiapa yang melihatnya. Namun, adakah yang melihatnya itu semestinya benda bernyawa?
Bagi pengkaji di sebuah universiti di Asia Barat, jawapannya adalah tidak semestinya. Saintis berkenaan, Amit Kagian, telah membangunkan satu perisian untuk komputer menilai kecantikan wanita. Penemuan itu adalah satu langkah terkehadapan dalam menghasilkan 'kebijaksanaan buatan' dalam komputer. Aplikasi perisian itu juga dilengkapi dengan teknologi pengecaman wajah.
"Sebelum ini, komputer hanya diajar bagaimana untuk mengenal pasti karakter asas wajah, seperti perbezaan di antara lelaki dan wanita.
"Tetapi, perisian yang kami hasilkan ini boleh membuat komputer menghakimi estetika kecantikan. Berasaskan proses pemikiran abstrak, manusia boleh membuat penghakiman, tetapi mereka selalunya tidak memahami bagaimana mereka membuat keputusan."
Pada peringkat awal kajian, sebanyak 30 lelaki dan 30 wanita telah dipersembahkan dengan 100 wajah wanita berkulit putih yang hampir sebaya. Mereka diminta menilai kecantikan bagi setiap wajah ini.
Para responden telah meletakkan skor bacaan pada imej-imej wajah tersebut pada skala satu hingga tujuh tanpa memberitahu mengapa mereka membuat keputusan tersebut. Kagian dan rakan-rakannya kemudian telah memproses serta memetakan bentuk geometri ciri wajah secara matematik ke dalam komputer.
Ciri tambahan seperti simetri, kelicinan kulit dan warna rambut turut dimasukkan ke dalam analisis. Berasaskan pilihan manusia, mesin tersebut kemudian belajar tentang hubungan di antara ciri wajah dengan skor kecantikan sebelum memberinya ujian untuk menghakimi set wajah yang lain.
Kata Kagian, komputer itu telah menghasilkan keputusan yang impresif. Kedudukan (ranking) yang diberikan sangat menyerupai ranking yang diberikan manusia. Kagian percaya yang ia boleh dianggap sebagai pencapaian yang mengagumkan kerana komputer mentafsir kecantikan menerusi data terdahulu yang diterima.
Kagian yang merupakan graduan di bawah program multidisiplin Adi Lautman berkata, ia juga merupakan satu langkah bukan mustahil untuk mengajar komputer mengenal pasti 'kecantikan' bagi lelaki selepas ini.
Bagaimanapun, akuinya, ia lebih sukar sementelah 'kecantikan lelaki' itu sendiri tiada tafsirannya. Tetapi, Kagian berkata, hal kecantikan lelaki belum dimasukkan ke dalam kajiannya.
"Saya mungkin akan meletupkan komputer," katanya berjenaka.
Kagian telah menerbitkan penemuannya dalam jurnal saintifik, Vision Research. Turut sama menulis mengenai hasil kajiannya ialah penyelianya Prof. Eytan Ruppin dan Prof. Gideon Dror.
-Kosmo!