Ahad, 20 April 2008

Krisis barang makanan melanda


Import beras, sayur negara RM12b setahun bukti sektor pertanian diabai

SETIAP tahun lebih 90 juta manusia bertambah di planet bumi. Maka itu sumber sedia ada akan terhakis, sumber baru perlu dicari. Paling penting ialah bagi mengisi perut lebih enam bilion manusia. Kita harus ingat dalam abad ke-20, dianggarkan 70 juta manusia mati kebuluran di seluruh dunia. Sekiranya krisis makanan yang mulai menampakkan wajahnya sekarang tidak ditangani, abad ke-21 akan ditandakan oleh perang dan sengketa berpunca bahan makanan.

Teknologi mengubah cara hidup manusia. Kecanggihan membolehkan manusia hidup jauh lebih selesa dan berkomunikasi dengan lebih mudah. Maklumat dan ilmu hanya di hujung jari kerana teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Manusia menjadi semakin mewah. Tetapi realitinya ialah satu peratus manusia dewasa di dunia menguasai lebih 40 peratus kekayaannya. Menurut kajian itu juga 10 peratus dari penghuni dewasa memiliki 80 peratus harta dunia. Pada waktu yang sama satu dari lima orang penghuni dunia harus hidup dengan RM3.50 sehari - paras kemiskinan tegar yang ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dua bilion manusia menderita kelaparan kronik akibat kurang makanan. Bahan makanan tidak sampai pada sebahagian besar manusia, jika sampai pun tidak mencukupi.

Pakar pemakanan meletakkan 2,500 kalori tenaga yang diperlukan bagi setiap manusia. Rakyat Amerika Syarikat (AS) secara purata memperoleh 3,600 kalori sehari, tetapi di Burkina Faso, rakyatnya hanya mampu mengambil 1,500 kalori. Berita paling hangat masa kini ialah kenaikan harga beras dan mi di negara ini. Kita diyakinkan bahawa beras mencukupi. Kita jangan lupa secara purata rakyat negara ini makan 80 kilogram beras setahun. Secara keseluruhannya rakyat negara ini memerlukan dua juta tan beras setahun. Malaysia hanya mampu mengeluarkan dua pertiga keperluan beras rakyatnya.

Beras ialah makanan utama kita. Pemakanan kita berkisar di sekitar beras. Satu waktu dulu kita mengandaikan beras berlambak-lambak di dunia, apa perlunya kita menanam padi. Lagipun teknologi penanaman kita tidak sebaik banyak negara lain. Kita rata-rata masih menggunakan kaedah turun temurun dengan benih yang hasilnya tidak dapat dibanggakan. Lebih baik kita menerjunkan diri dalam sektor pembuatan dan pengeluaran serta teknologi tinggi kerana pulangannya jauh lebih tinggi. Andaiannya ialah sehektar tanah sawah memberikan pulangan jauh lebih rendah sekiranya didirikan kilang di atas tanah itu atau dibangunkan untuk tujuan lain. Atas andaian inilah kita menjadi pengeluar utama barangan elektronik dan pelbagai barangan lain untuk dunia. Kita menjadi negara pedagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kita memasuki era teknologi yang hebat. Kita membina mercu tanda kebanggaan selain pelbagai projek mega untuk menandingi yang terbaik di dunia.

Sawah kita terbiar. Ternakan tidak dipedulikan. Industri ayam pedaging tidak sampai ke mana. Sayur-sayuran juga tidak cukup untuk keperluan kita. Pada masa ini kita mengimport barangan makanan bernilai RM12 bilion setahun. Jikalau kita membawa masuk beras, gula, barangan seliaan gula atau bijirin seperti gandum, tentulah boleh diwajarkan. Tetapi kita juga mengimport binatang hidup bernilai RM390 juta setahun, sayur-sayuran bernilai RM313 juta dan buah-buahan RM498 juta. Kita juga mengimport RM500 juta nilai beras setahun. Secara mudahnya pergantungan kita terhadap import barang makanan terlalu tinggi dan berbahaya.

Kita sedang berdepan dengan krisis makanan dunia. Harga barang makanan melonjak dengan hebatnya. PBB menyebutkan bahawa harga barang makanan dunia meningkat lebih 83 peratus dalam masa tiga tahun yang lalu. Organisasi Makanan dan Pertanian PBB (FAO) mengesahkan bahawa 36 buah negara sedang berdepan dengan krisis makanan yang serius. Di Haiti, Niger, Senegal, Cameroon, Burkina Faso, Morocco dan Mesir, rusuhan kerana makanan sudah berlaku.

Keadaan akan bertambah buruk di negara miskin dan di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Mereka membelanjakan lebih 70 peratus pendapatan mereka hari ini untuk makanan. PBB juga menganggar bahawa usaha pembasmian kemiskinan selama ini akan terjejas, lebih 100 juta manusia lagi akan terjerumus ke dalam paras kemiskinan.

Pada waktu sama, PBB menganggarkan bahawa Program Makanan Dunia memerlukan tambahan RM1.7 bilion lagi mengurangkan musibah krisis makanan. Beberapa buah negara Asia juga sedang menghadapi krisis makanan. Bangladesh yang dilanda puting beliung bulan November tahun lalu menyaksikan lebih 800,000 metrik tan beras musnah.

Di Filipina, 68 juta rakyatnya yang hidup dengan RM7 sehari terpaksa berdepan dengan kenaikan harga beras dan keperluan asas yang lain. Sekurang-kurang sejuta rakyat negara itu kini hidup dengan ihsan beras percuma dari organisasi bantuan. Moral ceritanya ialah, kita harus berwaspada. Memang kita diberikan jaminan bahawa stok beras kita boleh bertahan untuk menampung rakyat negara untuk enam bulan lagi. Dalam masa enam bulan kita tidak tahu apakah harga sedia ada akan bertahan.

Kawalan harga beras ada gunanya tetapi tidak dalam semua keadaan. Sekiranya faktor pasaran tidak diendahkan, beras juga boleh hilang begitu saja. Rakyat boleh hidup tanpa gula dan tepung atau mi, tetapi beras ialah isu yang lain. Sudah sampai masa kita melihat semula dasar pertanian kita seluruhnya. Tidak lama dulu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan visi baru pertanian negara, yakni pendekatan yang lebih produktif dan radikal untuk menjadikan bidang pertanian memiliki nilai ekonomi tinggi. Visi sebesar itu tidak mudah dilaksanakan.

Apa lagi, masih banyak di kalangan rakyat negara ini, termasuk pemimpin politik, pimpinan bank dan petani sendiri yang merasakan pertanian "tidak boleh pergi jauh." Memang mudah mahu mengajak mereka yang terbabit dalam sektor ini agar mengubah sikap dan minda untuk membawa pada permodenan, hala tuju baru dan semangat persaingan. Tetapi pertanian ialah sektor yang terlalu lama diabaikan.

Mereka yang terbabit rata-rata miskin dan ketinggalan. Imej petani dengan pakaian kotor dan berlumpur bukan tarikan pada golongan muda. Tidak hairanlah jikalau bilangan mereka yang terbabit juga berkurangan dan petani hari ini rata-rata berusia lebih 55 tahun ke atas. Tidak hairan jugalah mengapa berlaku pergantungan terlalu tinggi terhadap pekerja asing. Lagi pula tumpuan pertanian kita ialah pada sektor yang relatif selamat seperti kelapa sawit dan getah, yang pasti memberikan pulangan sama ada hujan atau panas. Sektor pemakanan selalunya berisiko tinggi.

Terlalu banyak faktor yang harus diambil kira dalam sektor ini. Paling penting tentunya ialah usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang harus dimanfaat oleh petani. Kita amat ketinggalan dalam R&D berbanding negara lain. Oleh yang demikian, kita tidak mendapat benih yang baik dengan pulangan yang lebih menguntungkan. Satu aspek yang selalu diabaikan dalam soal ini ialah peranan bank-bank di negara ini.

Sektor pertanian memang berisiko tinggi. Tetapi sektor perbankan harus turut sama menanggung risiko bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam sektor ini. Pelbagai dana yang disediakan dari 3F (Fund for Food) hinggalah pinjaman pada syarikat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus dibuka secara lebih luas. Pemantauan pada peringkat Bank Negara dan kementerian-kementerian yang berwajib ke atas bank-bank ini harus diperketat.

Tidak ada gunanya kita menghebohkan kejayaan fisikal dan pembangunan ekonomi apabila satu hari nanti kita terkejut beras dan makanan lain bukan saja berharga berlipat kali ganda tetapi hilang terus dari rak-rak di pasar raya kita.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
20 April 2008