Rabu, 9 April 2008

Ladang ternakan babi elok dipindah


Gambar oleh Berita Harian

KEKECOHAN yang berlaku sehingga orang ramai, khususnya masyarakat Melayu membantah keputusan kerajaan Selangor meluluskan projek ladang ternakan babi di Sepang bernilai RM100 juta, perlu ditangani sebaik mungkin. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mendakwa ladang ternakan babi berkelompok di Ladang Tumbuk, Kuala Langat itu diluluskan kerajaan negeri sebelum ini dan pihaknya hanya meneruskan projek itu. Bagaimanapun, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan kerajaan negeri pimpinannya pernah meluluskan projek sebesar itu. Dr Khir berkata, mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada 30 Januari lalu ada membincangkan perkara berkenaan, tetapi pada dasarnya meluluskan pembinaan ladang babi bersaiz kecil saja. Sebenarnya, kontroversi berkisar kepada ladang ternakan babi ini bukan baru, malah pernah berlaku di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak. Dalam apa juga keadaan, dua perkara utama perlu diambil kira sebelum membuka ladang ternakan babi. Pertama ialah menghormati sensitiviti kaum lain dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Maknanya, sebarang langkah mewujudkan ladang seumpama itu hendaklah menjauhi kawasan yang berdekatan dengan masyarakat Melayu. Kedua ialah memastikan ternakan itu tidak mencemarkan alam sekitar. Sistem perparitan perlu lebih kemas dan teratur supaya airnya mengalir ke kawasan khusus yang jauh dari penempatan masyarakat bagi mengelak sebarang pencemaran, apatah bau busuk najis.

Tidak salah bagi mana-mana kerajaan negeri membenarkan pembukaan ladang ternakan babi kerana kita menghormati hak orang lain, seperti juga kita mengharapkan masyarakat bukan Melayu untuk turut menghormati sensitiviti masyarakat Islam. Tidak salah juga rasanya jika kerajaan Selangor mengalihkan projek itu ke kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada mereka yang tidak menghadapi masalah dengan ternakan berkenaan. Sebagai contoh, pada 2007, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenal pasti kawasan seluas 804 hektar di Pasir Puteh, Samarahan, Sarawak untuk dijadikan model contoh program kawasan penternakan babi (PFA) moden di negara ini. Kawasan itu dipilih berdasarkan lokasinya jauh daripada kawasan perumahan, kesesuaian tanah dan bentuk muka bumi, yang dijangka mula beroperasi pada 2010. Kita tidak mendengar bantahan penduduk kerana projek itu dirancang dengan baik serta mengambil kira semua fakta seperti alam sekitar dan sensitiviti masyarakat setempat. Kita berharap dalam usaha mewujudkan tapak projek seumpamanya di mana saja pada masa akan datang, ia perlu mengambil kira segala aspek bagi mengelak tercetus kontroversi tanpa mengira sama ada ia diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Kita berpendapat projek ternakan babi di Sepang itu perlu dialihkan ke lokasi lain, bukan berdekatan dengan penduduk daerah Sepang dan Kuala Langat yang antara lain meliputi Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Tanjung Laut, Kampung Layang, Kundang dan Kampung Indah, semuanya majoriti didiami orang Melayu. Majoriti penduduk di situ membantah kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar dan membawa penyakit seperti berlaku di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, pada 1998 dengan virus maut dikenali 'Japanese Encephalitis' (JE). Hakikatnya, masalah pencemaran dikatakan berlaku di Sepang sejak dulu lagi berikutan kegiatan ternakan babi secara kecil-kecilan yang dijalankan sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Kita juga bimbang kerana kawasan ternakan yang dicadangkan itu terletak berhampiran Pantai Morib dan kegiatan itu dikhuatiri menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

Berita Harian