Khamis, 10 April 2008

Lautan dunia makin panas


HANOI: Kira-kira satu pertiga lautan dunia kini semakin panas empat kali ganda berbanding sebelum ini, menyebabkan ancaman kepada kehidupan laut. Ini didedahkan satu laporan alam sekitar tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan masalah itu dengan perbuatan penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran kawasan pesisiran pantai.

Malah, kualiti air turut terjejas di semua 64 kawasan ekosistem marin yang dikaji sekumpulan saintis dalam laporan Program Alam Sekitar PBB yang dibentangkan pada persidangan antarabangsa lautan, pesisiran pantai dan pulau di Vietnam, selama seminggu, bermula semalam.

“Kita mendapati ekosistem marin dunia kini berdepan tekanan hebat. Tekanan itu pula semakin ketara disebabkan masalah perubahan cuaca, khususnya pemanasan global,” kata penulis bersama yang juga penyelidik Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Amerika Syarikat, Ken Sherman dalam satu wawancara.

“Berikutan masalah itu, kita perlu memastikan kalangan penggubal dasar dan negara penyumbang mengakui masalah ini bagi mendapatkan lebih banyak dana untuk membiayai usaha mengekang kejadian itu,” kata Sherman.

- Reuters