Ahad, 6 April 2008

Pertandingan Ketua Pemuda mesti muhibah, profesional

HASRAT Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, untuk melepaskan jawatan yang disandangnya hampir sepuluh tahun pada pemilihan parti Disember ini, perlu dilihat sebagai langkah awal mengemas kini pemimpin pelapis dalam parti berkenaan. Dengan memberi ruang kepada muka baru untuk menerajui sayap Pemuda, Umno dijangka mengalami perubahan dinamik dalam membentuk pemimpin pelapis. Pengunduran Hishammuddin memberi ruang kepada beberapa pemimpin muda untuk mempamerkan kemampuan mereka memimpin sayap itu selepas parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu mengalami pengalaman pahit pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Lazimnya dalam politik kepartian, orang nombor dua akan naik jika berlaku kekosongan jawatan nombor satu. Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin setakat ini belum membuat pengesahan, sebaliknya menyerahkan kepada anggota akar umbi untuk menentukan nasibnya. Tiga Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Idris Harun dan Datuk Azimi Daim; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sudah menyatakan minat bertanding. Apapun, jika ada pertandingan, diharapkan ia diadakan dalam semangat muhibah dan profesional.

Kita tidak mahu melihat Umno berpecah dan parah apabila kempen keterlaluan berlaku sedangkan musuh utama yang perlu dihadapi ialah parti pembangkang, bukan bermusuh sesama sendiri. Malah, kempen dan lobi melobi pada peringkat cawangan dan bahagian parti, dikatakan sudah bermula. Sama ada calon atau penyokong, semua perlu mengikut peraturan dan etika yang ditetapkan. Sejak penubuhannya, sayap penting Umno itu sudah diterajui 10 tokoh termasuk Hishammuddin dengan tokoh pertama menerajuinya ialah Tun Sardon Jubir (1951-1964) iaitu paling lama, diikuti zaman revolusi mental diketuai Tan Sri Senu Abdul Rahman selama tujuh tahun sehingga 1971. Antara mereka yang pernah mengetuai pergerakan itu ialah Datuk Harun Idris, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Datuk Suhaimi Kamaruddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Semuanya mempunyai gaya kepemimpinan berbeza mengikut zaman meskipun matlamatnya adalah sama iaitu demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Apa yang penting, perjuangan Pemuda tidak lari daripada matlamat asalnya iaitu untuk membantu parti induk dan menjadi landasan generasi muda dilatih sebagai pemimpin masa depan.

Pada satu ketika dulu, pergerakan ini cukup berpengaruh terutama ketika zaman Harun, yang ketika itu Menteri Besar Selangor dan dianggap sebagai kumpulan pendesak paling berkesan dalam parti. Fungsi itu diwarisi pemimpin Pemuda seterusnya yang bukan saja menjadi pendesak di dalam parti, malah memainkan peranan penting sama ada di dalam atau luar kerajaan, terutama apabila membabitkan isu kepentingan orang Melayu, agama dan Malaysia pada peringkat antarabangsa. Pada zaman moden ini, Pemuda di bawah pimpinan Hishammuddin juga tidak kurang hebatnya sehingga berjaya membawa pergerakan itu ke arah kecemerlangan. Bagaimanapun, ada juga berpendapat penyandang jawatan Ketua Pemuda akan menjadi lebih berkesan jika tidak berada dalam kerajaan atau Kabinet. Meskipun pendapat ini ada asasnya, mungkin ada juga yang tidak bersetuju. Ketika Zahid mengetuai Pemuda (1996-1998), beliau tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Walau sesiapa pun yang mengetuai pergerakan itu nanti, tanggungjawabnya amat berat bukan saja untuk membantu memulihkan parti, malah memberi nafas baru untuk menarik golongan muda yang sesetengahnya lebih cenderung kepada pembangkang.

Berita Harian