Khamis, 3 April 2008

Vietnam uji vaksin


HANOI: Vietnam memulakan ujian klinikal terhadap vaksin manusia bagi virus H5N1 di negara itu yang setakat ini mencatatkan 52 kes kematian manusia akibat penyakit selsema burung. Sebanyak 11 sukarelawan yang semuanya adalah penyelidik menerima dos kedua mereka terhadap vaksin percubaan itu semalam di sebuah bilik perubatan sebuah syarikat yang dikendalikan Institut Kebangsaan Bagi Kebersihan dan Epidemiologi di Hanoi.

Epidimeologis dan virologis yang mengetuai ujian klinikal itu, Dr Nguyen Tuyet Nga berkata penyelidik menggunakan virus pathogenik H5N1 yang diambil daripada manusia pada 2004 di Vietnam dan dikenali sebagai VN1194.

Ia dikaji di seluruh dunia oleh saintis bagi mendapatkan satu vaksin bagi virus selsema burung yang membunuh 238 penduduk di seluruh dunia daripada 276 kes yang disahkan sejak 2003, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Saya berpendapat ini adalah sukar tetapi kerja yang amat penting dan kami mendapat sokongan daripada pakar luar,” kata Nga.

“Kami akan menguji untuk perlindungan keseluruhan dalam ujian klinikal akan datang tetapi bukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, membantu dalam pembangunan projek berkenaan tetapi tiada rakan kongsi syarikat farmaseutikal asing. Dos bagi ujian klinikal adalah dari 3.75 mikrogram hingga 45 mikrogram dan kedua-dua dos diberikan selama 28 hari, katanya sambil menambah tiada penambahan bagi meningkatkan dos dalam ujian berkenaan.

“Kita akan lihat berapa lama perlindungan itu dapat bertahan,” kata Nga selepas menerima dos dan menguruskan kepada sukarelawan lain yang memakai kot perubatan putih atau hijau dan topi pembedahan di syarikat yang dikenali sebagai Vabiotech.

Sementara itu di BEIJING, kerajaan China memberi kelulusan kepada sebuah syarikat ubat China untuk memulakan pengeluaran besar-besaran vaksin selsema burung terhadap manusia selepas ujian klinikal kedua menunjukkan ia selamat dan berkesan. Vaksin berkenaan menggunakan virus H5N1 tidak aktif dari Vietnam, kata seorang pegawai dari Sinovac Biotech yang membangunkan vaksin itu secara bersama dengan Pusat Kawalan Penyakit China.

“Kami menamatkan percubaan kedua November lalu. Kami memeriksa 402 peserta yang diberikan antibodi dan mereka memenuhi standard antarabangsa yang digunakan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk keselamatan dan tindak balas imun,” kata penyelia Sinovac, Liu Piecheng kepada Reuters.

- Reuters