
PM Kemboja gesa pemimpin dunia ubah persepsi
PHNOM PENH: Islam sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan keganasan semata-mata kerana tindakan segelintir penganut agama suci itu yang bertindak demi kepentingan diri sendiri. Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, berkata umat Islam tidak sepatutnya dipersalahkan kerana pihak yang melakukan serangan sebenarnya tidak termasuk dalam mana-mana agama.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Dialog Antara Agama Serantau Keempat yang dianjurkan bersama Australia, Indonesia dan Filipina di sini, semalam. Ini adalah kali pertama dialog seumpama itu diadakan di negara Buddha.
Katanya, jenayah tetap jenayah dan agama tidak ada kaitan dengan keganasan.
"Setiap kali berlaku serangan, mengapa tidak dikatakan ia adalah perbuatan pengganas. Mengapa mesti dikaitkan dengan Islam? Pengganas tidak mempunyai agama kerana semua agama menghalang keganasan.
"Pemimpin dunia perlu mengubah pandangan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Begitu juga dengan ungkapan kebebasan bersuara. Salah guna kebebasan bersuara membawa kehancuran kepada dunia," katanya.
Beliau turut menyelar tindakan ahli perundangan Belanda, Geert Wilders, yang menyalah guna konsep kebebasan bersuara untuk menghasilkan filem menghina Islam. Wilders menghasilkan filem pendek Fitna yang jelas anti-Islam serta diselang seli dengan paparan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.
Tindakan biadap Wilders itu mendapat bantahan serta kutukan banyak pihak, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan masyarakat Islam di seluruh dunia. Antara yang mengutuk ada lah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Prof Ekmeleddin Ihsanoglu. Hun Sen turut menggesa pihak media terutama televisyen supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menayangkan rancangan seumpama itu.
Sebaliknya beliau meminta stesen televisyen untuk menyiarkan berita penangkapan anggota keluarga pihak didakwa pengganas supaya ia lebih seimbang daripada cuma menayangkan serangan di sana sini. Beliau juga menegaskan agama penting dalam pembangunan sesebuah negara dan kemakmuran ekonomi malah di Kemboja peranan agama turut tercatat dalam Perlembagaan negara.
"Agama banyak memberi sumbangan kepada politik. Keharmonian, malah menjadi petunjuk kepada keadilan serta mendidik penganutnya menjauhi keganasan dan ketamakan.
"Agama sama sekali tidak boleh dibuang dari hati rakyat. Keganasan yang dilakukan bertujuan mengikis agama daripada menjadi amalan hidup tidak akan berjaya seperti apa yang rejim Pol Pot lakukan," katanya.
Daripada Hazirah Che Sab
Berita Harian