Khamis, 10 April 2008

Wajib isytihar peluk Islam


PUTRAJAYA - Kerajaan akan membuat peraturan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agamanya, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan mengelak masalah apabila mereka yang telah memeluk agama Islam itu meninggal dunia kelak.

"Kita tak nak jabatan agama kata si mati beragama Islam manakala keluarganya pula kata dia beragama lain akibat dia masuk Islam secara senyap-senyap," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam di sini.

Dengan adanya peraturan baru itu, katanya, orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu mempunyai dokumen yang menunjukkan keluarganya telah dimaklumkan mengenai agama barunya.

Abdullah berkata, beliau memaklumkan kepada mesyuarat itu bahawa isu agama amat sensitif dan perlu ditangani dengan bijaksana.

Beliau juga tidak mahu isu agama menimbulkan ketegangan antara kaum disebabkan perkara seperti merobohkan rumah ibadat, penukaran agama dan pertelagahan keluarga.

- Bernama