Khamis, 15 Mei 2008

Kanser paru-paru disebabkan oleh Vitamin E yang berlebihan


Menurut American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine, pengambilan 400 miligram Vitamin E dalam tempoh yang lama mengundang 28 peratus risiko menghidap kanser paru-paru terutamanya bagi perokok.

Dr. Christopher Slatore dari University of Washington memaklumkan sebanyak 521 kes kanser paru-paru telah dikesan di kalangan mereka yang berumur 50-76 tahun yang mengambil Vitamin C, folate dan Vitamin E secara berterusan selama 4 tahun.

Kajian juga menunjukkan walaupun alpha-tocopheryl succinate dan Vitamin E ester boleh menyekat pertumbuhan sel kanser pada haiwan, tiada bukti yang menunjukkan bahan itu menghalang kanser terhadap manusia.

Sumber : Dewan Masyarakat

Blu-ray unik


SYARIKAT Sony menampilkan kelainan terhadap perakam Blu-ray terbarunya, BDZ-A70 yang boleh memindahkan kandungan video di dalamnya ke walkman, konsol permainan video dan telefon bimbit tertentu.

Perakam tersebut yang baru-baru ini diperkenalkan di ibu pejabatnya di Tokyo, Jepun juga dilengkapi dengan 320GB HDD, dua pemilih digital dan satu pemilih TV analog.

Perakam Blu-ray tersebut telah berada di pasaran Jepun sejak hujung April lalu.

-Kosmo!

Mesin tangan


TENTU anda mengetahui tentang kewujudan arked atau mesin yang mengeluarkan 'tangan' untuk mencapai barangan seperti anak patung dari dalam sebuah peti kaca.

Tapi kini, tidak terhad kepada anak patung dan alat permainan, mesin seumpama itu diperluaskan untuk membeli kek. Arked permainan kek tersebut telah dipelopori di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Arked yang menjual aneka kek dari kedai-kedai kek terbaik di sekitar kawasan itu dicipta bagi menarik minat golongan wanita terhadap mesin jualan sedemikian.

-Kosmo!

Kad memori tanpa wayar


KAD memori SD terbaru Eye-Fi dipertontonkan di Dakota Selatan, AS, baru-baru ini. Ia dipamerkan bersama-sama dengan pembaca kad USBnya dan bungkusannya.

Eye-Fi nampak seperti kad SD dua gigabait yang biasa tetapi ia sebenarnya dijana dengan laluan wi-fi yang membolehkan kad tersebut dihubungkan dengan router rumah secara tanpa wayar.

Ia juga membolehkan gambar daripada kamera digital dimuat naik ke komputer atau laman perkongsian gambar di Internet secara automatik.

-Kosmo!

Kereta termoelektrik


SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Toshiba tampil dengan kereta elektrik menggunakan peranti termoelektrik terbarunya. Model prototaip kereta elektrik satu kerusi itu telah didedahkan di kampus Osaka Sangyo University, Daito, Osaka baru-baru ini.

Dinamakan Giga Topaz, kereta tersebut mendapat sumber elektrik daripada perubahan secara langsung suhu pada setiap bahagian metalik kenderaan itu.

Turut hadir dalam acara pengenalan kereta elektrik itu ialah naib presiden universiti berkenaan Osamu Yamada.

-Kosmo!

Navigasi umrah maya

Aplikasi umrah maya ciptaan pelajar, Syed Huzaifah Syed Omar ini dapat membantu pengguna sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


SYED Huzaifah Syed Omar mengambil masa setahun menyiapkan virtual umrah.

MASALAH kekeliruan yang dialami semasa mengerjakan umrah dua tahun lalu, telah menjadi cetusan idea buat seorang pelajar tahun akhir Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya untuk memperkenalkan sebuah aplikasi terbaru yang impresif iaitu virtual umrah atau umrah maya.
Menerusi aplikasi tersebut yang dimainkan di Internet, pengguna akan dapat membiasakan diri dengan suasana ibadah umrah di Mekah terlebih dahulu sebelum mereka benar-benar menjejaki tanah suci itu.

"Semasa melakukan umrah pada tahun 2006, saya mengalami beberapa kekeliruan ketika melaksanakan tawaf dan saie. Misalnya, saya keliru sama ada saya berada di Safa atau Marwa ketika melaksanakan ibadah saie.

"Memang kita telah diajar mengenainya dalam kursus sebelum bertolak, tetapi setelah tiba di tempatnya yang sebenar, ramai yang keliru kerana faktor keadaan sekeliling yang asing dan orang yang ramai," kata Syed Huzaifah Syed Omar, 23, pelajar tahun akhir MMU yang mencipta aplikasi berkenaan kepada Kosmo! ketika ditemu bual di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Masih berada pada peringkat prototaip, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia. Sebelum ini, aplikasi yang wujud sekadar dalam bentuk animasi atau 3D tanpa memiliki unsur interaktif seperti permainan komputer.

Dengan umrah maya, pengguna dapat merasai sendiri bagaimana keadaan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci dengan melakukan navigasi sendiri. Dalam erti kata lain, pengguna mengawal diri mereka sendiri untuk mengerjakan umrah.

Seperti juga permainan komputer yang lain, pengguna perlu menyelesaikan satu misi dan misi aplikasi ini ialah menyempurnakan ibadah umrah.

Menggunakan navigasi kursor, pengguna dikehendaki menyelesaikan dua peringkat iaitu peringkat tawaf dan peringkat saie. Permainan dimulakan dengan peringkat yang pertama iaitu tawaf. Untuk menyelesaikan peringkat berkenaan pengguna mestilah menghabiskan tujuh pusingan tawaf.

Selesai peringkat tawaf, pengguna beralih kepada peringkat saie. Di peringkat saie, pengguna perlu berulang alik dari Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali.

Menariknya, menerusi aplikasi ini, anda bukan sahaja mengetahui di mana lokasi Hajar Aswad, garis permulaan tawaf, garis permulaan saie, 56 pintu masjidil haram dan sebagainya bahkan anda juga mengetahui informasi-informasi berkaitannya.

"Ketika melaksanakan misi, pengguna akan bertemu kotak-kotak 'I' yang mempunyai informasi tersembunyi. Mengambil kotak I itu akan menemukan pengguna dengan informasi-informasi berkenaan aspek-aspek tertentu dalam umrah seperti memakai ihram, maklumat tentang Hajar Aswad, sejarah saie, mengapa perlu berlari lebih pantas di satu bahagian berwarna hijau, larangan semasa ihram dan doa-doa yang berkaitan," katanya.

Maklumat-maklumat itu disampaikan dalam bentuk yang menarik iaitu berbentuk kandungan video. Ia juga mempunyai suara yang dirakamkan oleh Syed Huzaifah sendiri.

Lebih menyeronokkan, aplikasi tersebut turut dimasukkan efek bunyi seperti bunyi orang membaca al-Quran, bunyi azan atau bunyi percakapan manusia seperti yang lazim didengari di Masjidil Haram.

"Untuk benar-benar menikmati pengalaman umrah tersebut, aplikasi ini boleh dihubungkan dengan gogal HMD yang membolehkan pengguna merasakan bahawa diri mereka benar-benar berada di persekitaran Masjidil Haram," katanya yang mengambil masa setahun untuk menyiapkannya.

"Saya mencipta aplikasi ini berasaskan konsep melayari, mempelajari dan memahami. Saya mahu orang ramai membiasakan diri dengan keadaan di Masjidil Haram, tahu bagaimana susun aturnya dan faham mengapa mereka melakukan ibadah tersebut. Saya tidak mahu mereka berasa keliru apabila tiba di sana seperti yang berlaku pada saya dan beberapa jemaah terdahulu. Saya berharap mereka dapat membiasakannya terlebih dahulu," ujarnya sambil menjelaskan aplikasi ini dibangunkan menggunakan perisian Virtools 4.1 Development dan 3d Studio Max.

Apakah masalah yang dilalui dalam melaksanakan projek tersebut? Syed Huzaifah berkata, ia merupakan projek tahun akhir individu dan semuanya perlu dilakukan berseorangan.

"Antara masalah yang dihadapi ialah untuk membina struktur sebenar Masjidil Haram kerana kekurangan sumber. Lantaran itu, saya berusaha mendapatkan sesuatu yang hampir serupa. Adakalanya, berlaku gangguan teknikal apabila saya cuba memasukkan satu elemen baru ke dalamnya.

"Saya juga perlu melakukan tugasan ini secara sendirian. Jadi, saya mestilah menguasai segenap perkara, sedangkan saya tidak mungkin mampu menguasai segalanya. Kekangan masa dan kewangan juga antara masalah yang dilalui," katanya yang percaya ia bakal dikomersialkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Merancang untuk menambah lebih banyak elemen, termasuk memperluaskannya kepada ibadah haji, mungkin selepas dia menunaikan haji kelak.

"Apapun, aplikasi ini cuba membuktikan bahawa teknologi dan agama boleh bergerak seiring.

"Tambah pula, ini mampu membuang tanggapan bahawa umat Islam ketinggalan dalam bidang teknologi, lebih-lebih lagi teknologi virtual. Selain itu, dengan suntikan hiburan, ia boleh menarik minat muda-mudi untuk mendekati ibadah.

"Bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga boleh mendapat gambaran sebenar melaksanakan ibadah di Masjidil Haram menerusi aplikasi ini kerana mereka tidak dibenarkan menjejakinya," katanya memberitahu terdapat beberapa pihak yang telah menyuarakan minat untuk bekerjasama dengannya dalam membangunkan aplikasi ini.

Dimainkan menerusi satu laman web yang bakal didedahkan kelak dengan plug in virtools web player, orang ramai boleh melihat atau mencuba sendiri aplikasi ini yang buat pertama kalinya dipersembahkan kepada umum pada pameran projek-projek tahun akhir MMU yang berlangsung semalam dan hari ini di MMU, Cyberjaya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini atau mahu menghubungi Syed Huzaifah atas urusan berkaitan bolehlah mengirim emel kepada virtual.umrah@yahoo.com.


Oleh ADHAM SHADAN
-Kosmo!

Isnin, 12 Mei 2008

Jangan ambil mudah kemiskinan bandar

Punca masalah dan krisis masa depan perlu ditangani dengan lebih berkesan

MEREKA yang paling teruk menanggung akibat kenaikan harga barang pada masa ini ialah golongan miskin di bandar. Urban poor ini menerima nasib yang lebih buruk daripada mereka yang dilabelkan miskin di kampung. Malangnya golongan ini sering dilupakan apabila kita bercakap mengenai golongan miskin di negara ini.

Saya pernah menyentuh isu ini sebelum ini (Berita Minggu 30 Oktober 2005). Hari ini isu kemiskinan bandar menjadi lebih serius. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, akan menjadi resipi bagi pelbagai krisis sosial dan politik. Kemiskinan bandar menjadi penyebab kepada pelbagai masalah – daripada pengangguran hingga gangsterisme. Lebih buruk lagi ialah gagalnya golongan ini memberikan perhatian serius pada aspek pendidikan anak-anak yang diharapkan dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup kemudiannya, serta memungkinkan mobiliti sosial.

Barisan Nasional (BN) dikejutkan dalam pilihan raya baru lalu akibat penolakan pengundi Melayu bandar terhadapnya. Sebahagiannya berpunca daripada persepsi bahawa orang Melayu bandar diketepikan, kepentingan mereka dilupakan dan kehidupan mereka tidak mendapat pembelaan. Sebahagian besar daripada mereka melihat keadaan 'antara dua darjat' – yang kaya, mampu dan berada berbanding dengan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kita harus ingat bahawa kuasa politik Melayu di bandar semakin penting masa kini berbanding dulu. Angka 2000 memperlihatkan 48.3 penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Melayu. Bilangan itu bertambah lagi akhir-akhir ini menjadikan bilangan penduduk Melayu di bandar lebih besar daripada bukan Melayu.

Kita boleh menyalahkan penghijrahan mereka dari kampung tradisi ke bandar sebagai punca fenomena ini. Pada 1970-an, 68.3 peratus penghijrah ke bandar adalah orang Melayu. Kota memang sentiasa menjadi tarikan. Malah generasi pendatang pertama dari desa sebenarnya melahirkan anak-anak yang berjaya dan mampu membawa mereka keluar daripada ancaman kemiskinan. Ini proses sosial yang lumrah.

Pendatang baru akan tetap ditawan oleh tarikan kota. Sejak dua dekad kebelakangan ini hadir pula pendatang dari luar (sama ada secara izin atau tidak) yang menambah bilangan mereka yang menghuni kawasan bandar. Sasaran mereka tentulah kawasan setinggan di sekitar Lembah Klang. Kita harus sedar bahawa proses perbandaran menjadi ciri penting kemajuan mana-mana negara. Semakin ramai rakyat negara ini akan tinggal di bandar. Pada 1970 hanya 13.8 peratus penduduk bandar di negara ini. Jumlah itu menjadi 50.7 peratus pada 1991. Hari ini lebih 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di bandar.

Pada 30 Julai 2003, dua tokoh muncul dalam program Isu Semasa yang saya kendalikan di RTM1, Menteri Besar Selangor dan seorang lagi Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tajuk yang dibincangkan ialah sasaran Setinggan Sifar baik di KL mahupun di Selangor. Saya mengingatkan mereka apakah sasaran itu realistik memandangkan 1 Januari 2005 hanya 17 bulan lagi. Saya menyebutkan bahawa ada 150 penempatan setinggan yang masih wujud di Kuala Lumpur ketika itu. Kawasan setinggan juga masih banyak di Selangor. Mereka begitu yakin bahawa sasaran itu boleh dicapai.

KL seperti kita tahu memang tempat di mana ratusan koloni pendatang bandar yang mencari tempat tinggal. Pada 1978, 23.5 peratus warga Kuala Lumpur adalah setinggan. Dari segi peratusan, jumlah ini menurun menjadi 17.6 peratus pada 1992 dan 9.7 peratus pada 1998. Sehingga Jun 2003, ada 82,000 orang penduduk setinggan di Kuala Lumpur. Soalan saya masa itu ialah apakah 82,000 orang setinggan akan hilang begitu saja menjelang 2005?

Kita tahu sasaran itu tidak dicapai. Kawasan setinggan masih wujud. Masih banyak penduduk bandar yang tinggal dalam kawasan yang menurut definisi Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 (Ordinan 1 dan 2) Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan) 'menduduki tanah secara haram atau menyalahi undang-undang' di bandar-bandar kita.

Banyak rancangan dirancang untuk menangani masalah ini, dari penubuhan Unit Penyelarasan Pembangunan pada peringkat DBKL, menyediakan Dasar dan pelaksanaan Penempatan Setinggan di Wilayah Persekutuan hinggalah Skim Pertapakan, Kemudahan dan Peningkatan serta program Penempatan Sementara dan Penempatan Semula Setinggan. Sejak 1977 dirancangkan penempatan rumah panjang yang sepatutnya memberikan peluang sementara sebelum mereka mendapat rumah baru. Ada yang tinggal lebih 15 tahun di penempatan yang dikatakan sementara ini.

Apa yang paling merunsingkan ialah budaya kemiskinan (culture of poverty) yang akan terus berleluasa di kalangan rakyat yang menghuni kawasan setinggan ini. Rantaian kesan buruknya tentulah dapat kita bayangkan. Malangnya banyak usaha untuk memenuhi keperluan rakyat dalam kategori ini selalu berdepan dengan masalah. Pertama, membina rumah kos murah tidak menguntungkan bagi pemaju perumahan. Kedua, siling yang tidak realistik untuk membina satu unit rumah kos murah. Pada suatu waktu dulu hanya RM25,000. Ketiga, banyak pihak mengkhianati usaha pembinaan rumah kos murah.

Angka tidak menipu. Pada 1985, sasaran Program Khas Perumahan Kos Rendah ialah untuk membina 62,203 unit. Apa yang mampu dicapai hanya 1,090 unit. Sasaran 1986 ialah 77,029 unit, yang dicapai hanya 20,420 unit. Tambahan pula sehingga 2002, menurut perangkaan kerajaan, ada 544 projek rumah terbengkalai membabitkan 125,649 unit rumah, sebahagiannya rumah kos rendah.

Setiap tahun Malaysia memerlukan 100,000 hingga 150,000 unit rumah baru untuk rakyatnya, apakah kita bersedia menampungnya? Apakah pula nisbah rumah rakyat berpendapatan rendah dalam konteks ini?

Saya berpendapat bahawa ada soal tafsiran dan makna yang terbabit. Kita menggunakan konsep 'rumah kos rendah.' Ketika Kerajaan Singapura merancang program perumahan rakyat melalui Perbadanan Perumahan Singapura, sasarannya ialah 'rumah mampu beli' atau affordable homes yang berkualiti. Rumah jenis ini akan dinaiktaraf berdasarkan kemampuan rakyat. Rumah kos rendah dalam pengertian kita ialah sarang burung merpati yang kelihatan hodoh dari luar dan menyesakkan penghuninya. Unit-unit rumah kediaman ini rata-rata tidak selesa dan sistem sokongannya menyulitkan lagi kehidupan penduduk: Lif selalu rosak, kawasan sekitar kotor, tempat letak kereta terbatas, penyelenggaraan keseluruhannya masih lemah.

Memang kemiskinan bandar tidak semestinya membabitkan kawasan setinggan. Tekanan hidup akibat kenaikan harga barang menjadi masalah utama penghuni bandar di manapun mereka berada. Banyak yang terpaksa bekerja lebih dari satu kerja untuk menampung kos hidup yang tinggi. Ibu bapa terpaksa bekerja meninggalkan anak-anak sendirian menjaga diri kerana tidak ramai yang mampu menggaji pengasuh.

Lebih malang lagi tidak berlaku sistem sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak umum, tadika yang berkualiti atau sistem kawalan keselamatan penduduk yang terbaik. Itu belum lagi kegagalan mengadakan pusat riadah, perpustakaan mini atau pusat komputer yang boleh membantu kanak-kanak. Semua ini menambah tekanan pada ibu bapa.

Isu kemiskinan bandar akan menjadi masalah besar sekiranya mereka dilihat hanya sebagai sumber undi apabila berlaku pilihan raya. Kemiskinan bandar melampaui kaum. Usaha menanganinya harus juga melangkaui kaum. Ketegangan kaum yang berlaku sebahagian besarnya kerana kurangnya integrasi kaum, ditambah dengan elemen lain yang meretakkan hubungan kaum.

Sudah sampai masanya kita melihat secara tuntas isu ini dari kanta dan perspektif yang baru. Kemiskinan adalah kunci pada krisis yang lebih besar. Dalam keadaan hari ini, kerajaan harus bertindak bijak dan pantas. Sekiranya tidak bandar-bandar kita akan menjadi bukti perbezaan kelas, status, kedudukan dan dispariti pendapatan.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
11 Mei 2008

Khamis, 8 Mei 2008

Kuasa gen Ghd7

PARA pengkaji di China telah mengenalpasti sejenis gen yang memainkan peranan penting dalam menentukan potensi penuaian pada padi, demikian menurut satu kajian yang dilaporkan jurnal Nature Genetics baru-baru ini.

Produktiviti padi biasanya ditentukan oleh beberapa ciri seperti bilangan dan saiz biji, tinggi tumbuhan dan masa ia berbunga, yang bertindak berdasarkan cuaca.

Kajian berterusan sejak bertahun-tahun lalu telah membantu para saintis menemui kromosom 7 pada tumbuhan tersebut yang nampaknya memberi maklumat tentang ketiga-tiga ciri tersebut.
Gen tersebut telah dikenalpasti oleh satu kumpulan yang diketuai Qifa Zhang dari Huangzhong Agricultural University di Wuhan, dalam satu lapangan kajian.

Kumpulan tersebut telah menanam 30,000 pokok padi dalam usaha untuk menjejaki gen berkenaan. Daripada 30,000 pokok, ia telah dikurangkan sehingga 1,082 sahaja kerana bakinya mempunyai bijian yang lebih sedikit dan lebih kecil, tumbuh lebih pendek dan berbunga lebih awal. Pokok-pokok terbabit didapati kekurangan gen yang dikenali sebagai Ghd7.

Apabila Ghd7 dimasukkan ke dalam pokok-pokok padi yang 'kekurangan' bahan itu, ciri-cirinya berubah. Masa yang diambil untuk berbunga menjadi berganda dan tumbuhan itu menjadi dua pertiga lebih tinggi.

Para pengkaji kemudiannya mengkaji bagaimana Ghd7 berfungsi pada jenis-jenis padi berbeza yang berasal dari serata Asia, dari Jepun sehingga ke India.

Mereka dapati terdapat lima jenis mutasi atau versi pada gen utama itu.

Versi kurang aktif Ghd7 didapati tertanam di rantau Asia yang lebih sejuk. Mutasi ini berlaku demi menggalakkan tumbuhan itu untuk berbunga lebih cepat, sekali gus membolehkan ia ditanam di kawasan tersebut di mana ia melalui musim-musim pertumbuhan yang pendek ekoran keadaan cuaca.

Penemuan itu disifatkan mempunyai implikasi asas dalam memperbaiki hasil tanaman padi, makanan ruji di Asia dan komponen diet yang penting di seluruh dunia, kata kajian itu.

Pakar teknologi padi boleh membantu para petani dengan memasukkan gen Ghd7 dan memadankannya dengan varian tertentu, katanya.

Memperhebat penuaian padi adalah penting kerana ia dijangka akan meningkatkan populasi Bumi daripada sekitar 6.5 bilion hari ini kepada lebih daripada sembilan bilion pertengahan abad ini.

-Kosmo!

Bantu warga emas berjalan


SYARIKAT Jepun, Honda Motor menunjukkan keprihatinannya terhadap warga tua dengan menghasilkan alat membantu berjalan khusus untuk warga emas.

Direka khusus untuk warga tua, prototaip alat bantu berjalan itu dipamerkan dalam satu pameran di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Alat bantu berjalan itu dipakaikan pada bahagian pinggul dan paha. Ia dilengkapi dengan pengesan sudut dengan berat tiga kilogram.


-Kosmo!

Menonton dalam kenderaan


Bagaimanakah teknologi MediaFLO memastikan aktiviti menonton televisyen dalam kenderaan satu pengalaman yang mengujakan?

TEKNOLOGI penyiaran siaran televisyen dalam kenderaan boleh dikatakan suatu perkara yang baru, namun ia mudah menarik perhatian kerana ia sesuatu yang mengujakan. Ia mungkin menjadi pencetus kepada tontonan televisyen yang menyeronokkan di dalam kereta. Anda tidak akan ketinggalan rancangan televisyen kegemaran anda walaupun ketika berada dalam perjalanan ke tempat kerja, kompleks membeli-belah, rumah saudara mara atau ke mana sahaja.

Tambah menarik, jika penyiarannya tidak mudah terganggu walaupun ketika anda melalui kawasan lebuh raya atau kawasan berbukit kerana penerimaan isyarat penyiarannya adalah secara mudah alih.

Baru-baru ini, pembangun dan pelopor teknologi tanpa wayar dan solusi canggih, Qualcomm Incorporated telah melaksanakan demonstrasi siaran berasaskan satu teknologi yang dinamakan teknologi MediaFLO, yang dipancarkan ke udara ke sebuah sistem hiburan dalam kenderaan. Siaran sulung itu dipaparkan di pameran Persatuan Penyiar Bersekutu (NAB) yang diadakan di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat (AS).

Demonstrasi TV mudah alih inovatif ini membuktikan fleksibiliti landasan MediaFLO serta kaedah penyiarannya yang menarik dan unik yang boleh digunakan dalam apa jua senario.

Demonstrasi dalam kenderaan ini melibatkan sebuah kenderaan utiliti sport (SUV) yang dipasang dengan dua buah skrin televisyen di belakang alas kepala dengan resolusi BGS. Alat penerima MediaFLO yang disepadukan dalam konsol tengah belakang akan menerima siaran televisyen secara langsung menerusi landasan MediaFLO dengan resolusi QVGA. Pengawal konsol tengah pula membolehkan pengguna menggunakan panduan saluran elektronik, menukar saluran dan mencapai ciri opsyen Sistem MediaFLO.

"MediaFLO dibina khusus untuk daya pergerakan dan kepantasan, menjadikannya landasan yang sesuai untuk membina penyelesaian menjimatkan kos di dalam kenderaan yang boleh digunakan dalam skala besar di pasaran umum," kata Neville Meijers, naib presiden kanan dan pengurus besar Qualcomm MediaFLO Technologies.

MediaFLO membolehkan pengalaman kepelbagaian multimedia mudah alih yang merangkumi video berkualiti tinggi, audio, data dan perkhidmatan secara interaktif.

Oleh kerana landasan MediaFLO menggunakan rangkaian penyiaran mudah alih khusus, ia tidak memerlukan pancaran garis lurus dan inilah yang membezakannya daripada transmisi TV satelit. Kualiti video dan kekuatan isyaratnya pula tidak akan terjejas dalam kawasan metropolitan yang padat.

Tambahan lagi, landasan ini telah direkacipta untuk penerimaan isyarat mudah alih tiada bandingan dan boleh beroperasi dengan cekap dalam keadaan pemanduan biasa, di atas jalan raya mahupun lebuh raya.

MediaFLO adalah landasan penyiaran mudah alih bagi penyampaian hiburan dan maklumat berkualiti tinggi, termasuk siaran video dan audio menerusi internet, media Clipcasting, siaran data IP dan perkhidmatan interaktif.

FLO pula secara umumnya adalah teknologi antara muka udara terbuka yang mendapat pengiktirafan global, dipiawai oleh Persatuan Industri Telekomunikasi (TIA) dan disyorkan oleh ITU-R untuk penyiaran multimedia dan aplikasi data. Dicipta untuk perkhidmatan mudah alih, MediaFLO direka untuk meningkatkan kapasiti dan liputan, serta mengurangkan kos bagi penyampaian kandungan multimedia kepada alat mudah alih.

Lebih banyak maklumat mengenai MediaFLO boleh didapati di laman web www.MediaFLO.com.


-Kosmo!

Isnin, 5 Mei 2008

Kenapa persalah Melayu kerana budaya?

Nilai-nilai murni pengurusan, sokongan boleh menjayakan mereka dalam perniagaan

MINGGU lalu saya membentangkan kertas kerja bertajuk '50 Tahun Merdeka: Sudah Berubahkah Minda Usahawan Melayu?' dalam simposium yang dianjurkan oleh PNB-MIDF sempena Minggu Amanah Saham di Melaka. Keseluruhan perbincangan saya ialah mengenai perlunya kita melihat semula nilai-nilai dalam masyarakat Melayu yang sepatutnya membolehkan mereka menjadi bangsa yang berjaya dan setanding dengan orang lain. Saya menghujahkan bahawa minda dan psyche Melayu bukan hambatan pada kejayaan mereka. Dan budaya Melayu bukan penyebab kegagalan mereka dalam pelbagai bidang.

Oleh kerana peserta simposium itu usahawan dan ahli perniagaan Melayu, saya yakinkan mereka bahawa bangsa Melayu punya sejarah dan budaya yang gemilang dan bahawa genius pemikiran Melayu terbukti melalui kreativiti dan tradisi keilmuan mereka.

Saya menyebutkan bahawa tidak ada bezanya bangsa Melayu dengan bangsa lain daripada segi kemampuan dan kecerdikan. Malah tidak benar bahawa orang Melayu inferior minda mereka berbanding kaum lain. Atau mereka tidak punya bakat dan kebolehan berbanding orang lain. Malah adalah tidak benar bahawa orang Melayu tidak ada minda perniagaan. Saya menolak hujah bahawa orang Melayu hanya berdagang dan berniaga selepas Tanah Melayu merdeka pada 1957 atau hanya selepas terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sebahagian besar peserta terdiri daripada generasi muda. Ramai yang menemui saya selepas pembentangan itu menyatakan kehairanan mereka mengapa aspek-aspek positif orang Melayu itu tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Mereka tidak mengetahui bahawa sejarah bangsa Melayu mengandungi cerita kehebatan dan kejayaan dalam pelbagai bidang. Dan bahawa sejarah kerajaan Melayu bukan hanya bermuat cerita penindasan dan kekejaman terhadap orang Melayu tetapi juga cerita kegemilangan tamadun dan tradisi keilmuan.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah semua nilai yang baik yang dikaitkan dengan bangsa Melayu itu sebenarnya dipinggirkan akibat begitu lamanya mereka berada dalam penjajahan (446 tahun sejak tumpasnya Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511). Penjajahan empat setengah abad itu tentulah mempengaruhi minda, sikap, nilai, harga diri dan psyche Melayu.

Kedatangan Inggeris membuka sedikit sebanyak peluang pada anak-anak Melayu mendapat pendidikan. Tetapi penjajahan tidak akan memberikan peluang seluas-luasnya pada mereka. Tambahan pula sistem ekonomi kolonial tidak memberikan mereka kesempatan untuk membuktikan kemampuan mereka dalam bidang perniagaan. Penjajah Inggeris menyelesaikan masalah ekonomi dengan membezakan kaum-kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka.

Benarkah orang Melayu tidak punya minda perniagaan? Saya menghujahkan hal itu dalam rencana saya sebelum ini (BM, 23 November 2003). Dalam sebuah lagi rencana lain saya juga menghujahkan bahawa orang Melayu mempunyai sejarah panjang dalam bidang perdagangan antarabangsa sejak awal abad yang pertama lagi (BM, 10 September 2006).

Memang kita mudah menyalahkan penjajah kerana kelemahan orang Melayu selama ini. Penjajah adalah alasan terbaik mengapa orang Melayu tidak mampu bersaing dengan orang lain. Kita lupa bahawa selepas merdeka, kuasa politik di tangan orang Melayu. Orang Melayulah yang akan menentukan nasib orang Melayu. Kita terlupa bahawa kegagalan orang Melayu sejak merdeka patut dipersalahkan juga pada pemimpin Melayu yang melaksanakan dasar untuk bangsa mereka.

Tetapi itukah keutamaan kita? Menuding jari mencari salah? Tidakkah kita harus 'move on' meminjam ungkapan bahasa Inggeris? Bagi saya tugas yang lebih besar pada masa ini ialah mengembalikan keyakinan bahawa orang Melayu boleh berbuat apa saja sekiranya mereka diberikan peluang dan kesempatan. Suatu ketika dulu anak-anak Melayu dikatakan lemah dalam bidang sains dan matematik. Hari ini sistem pendidikan kita melahirkan profesor dalam bidang matematik dan sains. Suatu waktu dulu kita menganggap orang kaya dalam masyarakat Melayu hanya setaraf dengan watak Marzuki dalam filem Penarik Beca dan Haji Bakhil dalam Labu dan Labi. Hari ini kita tahu orang Melayu bukan saja menjadi jutawan tetapi 'billionaire.' Konsep kekayaan di kalangan orang Melayu telah bertukar sama sekali akibat DEB. Suatu masa dulu kita mencurigai kemampuan anak-anak Melayu untuk menjadi profesional. Hari ini jumlah mereka begitu banyak.

Jadi, hujah bahawa orang Melayu sebenarnya tidak boleh berjaya dalam perniagaan tidak boleh diterima pakai. DEB memberikan peluang lebih besar kerana dasar itu cuba menyusun semula masyarakat yang selama ini kegiatan ekonominya digariskan oleh kaum. DEB bukan dasar perkauman. DEB adalah lonjakan yang diperlukan untuk membantu orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam bidang ekonomi dengan kaum-kaum lain, tanpa merompak hak orang lain. Itulah semangat sebenar DEB.

Soalnya mengapakah selepas lebih 38 tahun terlaksana dasar itu, kejayaannya masih dipersoalkan? Mungkin sudah sampai masanya tumpuan kita tidak lagi hanya pada aspek nyata yang bertolak dari angka mengenai peratus pemilikan ekuiti Melayu pada keseluruhannya. Sudah sampai masanya kita menumpukan perhatian pada cerita kejayaan sekian ramai ahli perniagaan dan usahawan Melayu selama ini. Merekalah yang menulis semula hukum hakam perniagaan orang Melayu yang selama ini hanya dikatakan mampu berjual pisang goreng, nasi campur dan keropok lekor.

Apa yang dilupakan oleh ramai orang ialah bahawa orang Melayu mempunyai sikap dan minda yang betul untuk berjaya dalam perniagaan. Pandangan dunia orang Melayu tidak pernah seperti katak di bawah tempurung. Nilai Melayu seperti yang tertera dalam peribahasa, simpulan dan bidalan menunjukkan mereka bukan bangsa yang bersikap defeatist dan mudah menyerah kalah.

Ada pihak yang menyalahkan budaya Melayu kerana kelemahan mereka. Soalnya apakah kita juga percaya dengan mitos pribumi malas yang dihujahkan oleh orang lain? Malaskah sebenarnya orang Melayu? Apakah pemerhatian Abdullah Munshi pada abad ke-19 masih relevan hari ini? Apakah semata-mata kerana wujud peribahasa seperti 'kalau dah secupak takkan jadi segantang' menunjukkan sikap puas hati dan penyerahan pada takdir dan suratan? Apakah peribahasa 'ulat dalam batu lagikan boleh hidup' membuktikan bahawa minda Melayu selalu lemah menyerah?

Mengapa tidak dilihat aspek positif dari semua itu? Bukanlah kehidupan masyarakat tradisional yang mencorakkan penghasilan peribahasa, pantun dan karya sastera? Bukankah semua itu cerminan dari masyarakat Melayu sendiri? Bukankah kehidupan pertanian yang sukar menjadikan mereka lebih filosofikal terhadap kesusahan dan kemelaratan diri? Dan bukankah kepercayaan agama mereka menjadikan mereka cekal, tawakal dan menyerahkan diri pada Takdir yang ditentukan oleh Allah?

Hari ini orang Melayu jauh lebih bernasib baik. Mereka mendapat pendidikan serta pendedahan lebih banyak. Maka itu nilai-nilai Melayu yang terbaik itu sudah sepatutnya dijadikan azimat untuk menempah kejayaan masa depan. Cukuplah penghinaan yang dilontarkan pada bangsa sendiri. Memadailah Malay-bashing yang nampaknya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Penjajah mendefinisikan Melayu berdasarkan persepsi dan keperluan mereka. Hari ini orang Melayu mulai memberikan definisi bangsa mereka sendiri menggunakan kayu ukur yang tidak jauh bezanya dengan penjajah.

Tidak ada salahnya menjadi kritikal terhadap bangsa sendiri. Tetapi ada bahayanya jikalau kita selalu dimomokkan dengan andaian bahawa orang Melayu lemah, berjiwa kecil dan gagal. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kita hanya mampu mencari salah dan kelemahan diri.

Inilah masanya untuk kita menggunakan sejarah dan budaya untuk memperagakan kemelayuan yang baru dan yakin. Bukan bangsa yang lemah dan mudah menyerah kalah.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
4 May 2008

Selasa, 29 April 2008

Smiley interaktif


SELAMA ini, kita hanya melihat smiley di dalam peranti seperti komputer dan telefon bimbit.
Hari ini, sebuah alat permainan inovasi smiley yang interaktif mula dihasilkan.

Seorang lelaki Taiwan, Ryan Liu bertanggungjawab mereka cipta alat permainan tersebut.
Smiley berasaskan mesej itu akan mengubah karakternya mengikut smiley yang diterima di komputer.

Jika smiley di dalam komputer menunjukkan mood gembira maka mulut smiley interaktif ini juga akan mengikut gembira dan jika terkejut, ia turut ikut terkejut atau jika sedih, ia akan ikut bersedih.

Alat permainan ciptaan Liu itu telah dipamerkan pada hari pembukaan Pameran Reka Cipta Antarabangsa ke-36 di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

-Kosmo!

Jelajah teksi solar


KERETA solar mesra alam sekitar Solar Taxi yang direka dan dipandu oleh seorang lelaki Switzerland, Louis Palmer baru-baru ini mencuri perhatian di Bangkok, Thailand.

Beliau tiba di negara itu dalam siri penjelajahannya. Palmer sebenarnya telah memulakan siri penjelajahan dunia sejak awal Julai tahun lalu.

Penjelajahan itu adalah usaha promosinya terhadap penggunaan kereta berkuasa solar dan membuktikan bahawa ia sebuah kereta yang bukan sahaja sempurna untuk digunakan setiap hari bahkan mampu mengelilingi dunia. Palmer mahu menunjukkan bahawa ia adalah solusi terbaik untuk menangani masalah pencemaran dan pemanasan global.

Antara negara yang telah disinggahinya ialah Jerman, Republik Czech, Austria, Slovakia, Hungary, Romania, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria, Lebanon, Jordan dan Arab Saudi.

Teksi solar yang mempunyai kelajuan maksimum 90 kilometer sejam itu boleh bergerak 400 kilometer dalam satu cas.

Jentera ini juga dilengkapi dengan tempat duduk berkulit mewah yang menjamin keseronokan dan keselesaan.

-Kosmo!

Bayi comel merangkak


SYARIKAT gergasi Jepun, Tomy baru-baru ini telah memperkenalkan sejenis permainan baru yang menghiburkan iaitu Crawling Baby iaitu bayi kecil yang merangkak. Ia diperkenalkan dalam satu prebiu di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Bayi kecil dan comel yang hanya berketinggian 4.5 sentimeter itu boleh merangkak sambil menggoyangkan punggungnya. Keletahnya pasti mencuit hati.

Tomy menjangkakan untuk meletakkan permainan ini di pasaran pada Julai ini.

-Kosmo!

Haruman daripada telefon


SEBUAH syarikat Jepun, NTT Communications (NTT) sedang mengendalikan satu ujian awal mengenai perkhidmatan komunikasi unik yang membolehkan telefon bimbit berfungsi lebih daripada sekadar membuat panggilan atau mengirim mesej teks.

Ujian itu dilakukan bagi membolehkan telefon bimbit mengeluarkan bau.

NTT telah mendedahkan rancangan mereka untuk menghasilkan sistem berkenaan menerusi perkhidmatan terbarunya, Komunikasi Haruman Mudah Alih (MFC).

Model prototaip dan kapsul wangian untuk sistem ini telah diperkenalkan dalam satu prebiu di Tokyo, Jepun.

Sistem tersebut adalah versi mudah alih bagi perkhidmatan yang menggabungkan muat turun kandungan audio-visual bersama dengan wangian tertentu yang dicetuskan daripada peranti tertentu.

Versi mudah alih yang baru ini akan menawarkan pengguna telefon bimbit untuk memuat turun fail atau resipi bagi sesuatu wangian tertentu bersama dengan kandungan visual dan audio.

Data haruman dipindahkan menerusi inframerah ke sebuah peranti yang telah dipenuhi dengan katrij wangian asas.

Peranti tersebut kemudiannya akan mengadun haruman tertentu yang akan dikeluarkan apabila kandungan sesuatu audio atau video dimainkan di telefon bimbit.

Senarai haruman boleh didapati untuk dimuat turun dari laman web syarikat kembar NTT iaitu NTT DoCoMo. Bau yang ada juga boleh diubahsuai dan dikongsi bersama mereka yang melanggani perkhidmatan tersebut.

Semasa ujian awal itu, NTT juga akan menguji sebuah peranti kawalan yang dinamakan Service Gateway yang mengawal operasi peranti dalam sistem MFC.

Dalam ujian awal itu, sebanyak 20 responden menerima kit MFC yang mengandungi sebuah telefon bimbit dan peranti wangian.

NTT menyasarkan untuk menggunakan informasi yang dikumpulkan untuk mengetahui keupayaan perkhidmatan ini dan sejauh mana pandangan responden terhadap kegunaan dan rekaannya.

Perkhidmatan MFC ini sebenarnya adalah berasaskan dari satu sistem yang pernah dilancarkan pada tahun 2005.

Sistem berdasarkan internet itu membolehkan haruman disebarkan dalam panggung wayang semasa bahagian-bahagian tertentu dalam filem ditayangkan.
-Kosmo!

Ahad, 27 April 2008

Apa perlunya muafakat sesama Melayu?

ADA tuduhan mengatakan bahawa Umno hanya bercakap mengenai soal perpaduan dan muafakat sesama Melayu apabila mereka berada dalam kedudukan yang lemah. Ini berlaku beberapa kali dalam sejarah pilihan raya negara. Perpaduan menjadi momok yang digunakan tanpa malu oleh Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Dengan menggambarkan keadaan Melayu akan dikotak-katik dan dipinggirkan, Umno mengharapkan sokongan orang Melayu kembali padanya.

Maka orang Melayu sendiri mulai bertanya, di manakah Umno sebelum ini? Apakah Umno mendengar suara dan rintihan mereka apabila mereka memerlukan? Apakah Umno sebenar-benarnya memperjuangkan kepentingan Melayu seperti yang dituntut oleh perlembagaannya? Apakah pemimpin Umno terlalu angkuh dan mabuk kuasa hingga hilang bara perjuangan di dalam sanubari mereka?

Ada juga tuduhan yang mengatakan pimpinan Umno terlalu sombong untuk mendengar suara orang Melayu. Umno menganggap parti itu akan terus mendapat dokongan Melayu sampai bila-bila. Umno begitu yakin dengan kejayaannya selama ini hingga parti itu lupa dinamika yang berlaku dalam masyarakat. Masyarakat Melayu berubah begitu juga masyarakat Malaysia. Umno sebaliknya terpenjara dalam kapsul masa. Parti yang tertubuh atas tuntutan memerdekakan orang Melayu dan negara pada 40-an dan 50-an cuba menyelesaikan masalah abad ke-21.

Demikianlah penilaian pedas yang dibuat dalam sekian banyak perjumpaan, seminar, dialog, diskusi, muzakarah dan entah apa lagi yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008. Debat mengenai 'masalah Umno' tidak saja berakhir di dewan dan bilik seminar dan perbincangan, malah melimpah ke luar hingga ke kedai kopi dan warung. Seperti biasa semua orang mempunyai alasan dan hujah mengapa keadaan itu berlaku.

Sepahit-pahit jadam, ia ubat mujarab. Demikianlah, dalam sebarang usaha memulihkan Umno, ubat pahit harus ditelan oleh pemimpinnya. Sekiranya Umno masih menganggap bahawa penolakan rakyat pada 2008 adalah fenomena semasa dan tidak mungkin berulang, maka sejarah akan menghukum Umno. Sekiranya Umno masih menyalahkan orang lain sebagai punca kekalahannya, Umno akan berdepan dengan krisis yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Tidak ada parti lawan yang kuat, cuma parti memerintah yang semakin lemah. Itulah adat pilihan raya. Apa yang jelas ialah Umno berdepan dengan kekalahan dan kekalahan itu bukan disebabkan oleh kekuatan parti lawan tetapi kelemahan dalaman Umno sendiri. Hakikat ini harus diterima oleh pimpinan Umno. Sekian banyak hujah untuk mengatakan bahawa Umno melakukan terlalu banyak terhadap orang Melayu, maka tidak wajar orang Melayu menolaknya, tidak boleh diguna pakai. Peribahasa Melayu ada menyebutkan, panas setahun, habis oleh hujan sehari. Lagipun ada peribahasa lain yang mengatakan, marahkan pijat kelambu dibakar. Orang Melayu marahkan pijat sebenarnya.

Dalam satu lagi siri pertemuan mengenai masa depan Melayu, Persatuan Anak-Anak Johor Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur mengundang Profesor Datuk Dr Zainal Keling dan Datuk Dr Malik Munip sebagai ahli panelnya. Mereka mengajak pimpinan Umno kembali ke asal, memahami perjuangan Umno yang sebenar dan yang lebih penting bagi orang Melayu, mengingat semula siapa dan di mana mereka berada di negara ini.

Malik bercakap mengenai gagalnya orang Melayu mengartikulasikan pendirian dan sikap mereka selama ini. Ini bangsa yang tidak punya jurucakap untuk menyatakan pendirian secara yakin dan berkesan.

Orang Melayu juga gagal dalam perang minda. Selain gagal memanfaatkan media secara berkesan. Malik menghujahkan bahawa sebenarnya hak Melayu sah atau legitimate, bukan tuntutan kosong yang tidak didukung oleh Perlembagaan, sejarah dan kontrak sosial. Sayangnya orang Melayu meletakkan diri mereka dalam kekecilan minda dan melupai sejarah.

Beliau juga menyentuh mengenai keghairahan orang Melayu menampilkan kelemahan demi kelemahan, bagaikan tidak ada yang elok dan baik pada budaya dan tradisi orang Melayu. Orang Melayu diperingatkan saban waktu mengenai kekecilan mereka. Melayu dikaitkan hanya dengan yang negatif, buruk dan mundur.

Zainal kecewa kerana pimpinan Melayu mengabaikan apa yang sebenarnya diamanahkan pada mereka selama ini. Mereka lupa bahawa orang Melayu merintih, mengeluh, menangis dan kecewa apabila soal-soal dasar yang membentuk kemelayuan diabai dan dipinggirkan – antaranya bahasa dan budaya. Keresahan orang Melayu bukan tanpa sebab. Ada persepsi bahawa pemerintah terlalu akur pada tuntutan orang lain sedangkan anak sendiri dibiarkan.

Demikianlah pertemuan sebegitu biasanya menarik ramai peminat. Malah menjadi begitu popular dalam masyarakat Melayu hari ini. Mungkin bagi sesetengah pihak, ia menjadi tempat melepas geram. Banyak juga pandangan yang bernas dan bermutu disuarakan, selain tentunya emosi yang bebas membuak-buak. Semangat kemelayuan yang sekian lama terpendam sebenar tertera dalam pertemuan seumpama ini.

Jauh di lubuk hati saya bertanya juga, apakah ini sebenarnya yang dimahukan oleh orang Melayu hari ini? Benarkah generasi muda mengendahkan keresahan generasi tua akan terhakisnya kuasa politik dan kuasa Melayu? Benarkah orang Melayu masih menganut faham bahawa Melayu itu Umno dan hanya Umno saja yang mampu memperjuangkan nasib bangsa?

Apakah perlu orang Melayu atau NGO Melayu bersidang dan berarak sekali lagi untuk mengajak pada perpaduan? Apakah dengan menghimpunkan NGO Melayu akan memperagakan solidariti di kalangan Melayu? Apakah dengan menyampaikan resolusi dan tuntutan akan mengubah nasib bangsa Melayu? Apakah sebenarnya keutamaan Melayu masa ini?

Memang perbincangan mengenai isu Melayu sedang bersemarak di alam siber. Tetapi rata-rata di kalangan mereka yang mengambil bahagian berpendapat perpaduan Melayu tidak relevan lagi masa kini. Demikian juga di kalangan generasi Starbucks, BN dan Umno bukan segala-galanya. Mereka tidak melihat BN dan Umno mewakili apa yang mereka mahukan – konsep demokrasi, keterbukaan, akauntabiliti dan kebebasan bersuara. Malah di kalangan generasi baru, mereka tidak punya bagej sejarah dan psikologi dengan BN atau Umno.

Mereka meletakkan keutamaan yang berbeza sama sekali dengan ibu bapa mereka. Ironinya mereka merupakan produk kejayaan dasar Umno sendiri. Kebebasan bagi mereka bermakna memilih mana-mana parti atau sesiapa saja yang mereka yakini boleh mewakili aspirasi mereka. Sekiranya generasi ini tidak didekati, parti lain akan menjadi pilihan mereka.

Salah seorang yang memberi pandangan di dalam majlis di Bangunan Persatuan Sejarah itu mengatakan, di banyak tempat generasi muda sedang berlumba-lumba untuk menjadi ahli PKR atau Pas, bukan Umno. Ini realiti baru yang harus diterima. Kekalahan BN dan Umno memberikan rangsangan baru bagi parti lain untuk menawan hati dan perasaan generasi muda. Sekiranya Umno tidak melakukan sesuatu dengan segera, yang tinggal pada mereka ialah kelompok muda yang bermain kompang dan membawa sepanduk, yang berkualiti berbondong-bondong menyertai parti lain.

Umno harus mencipta semula dirinya untuk memastikan kelangsungan dan survivalnya. Demikianlah pandangan banyak orang. Perkataan 'kelangsungan' dan 'survival' menjadi taboo bagi mana-mana parti yang berkuasa. Tetapi sejarah membuktikan bahawa parti politik yang paling utuh sekalipun akhirnya tersungkur. Bagi parti yang memerintah, menang saja belum menjamin segala-galanya, mengisi kemenangan sebenarnya lebih sukar. Bagi parti lawan yang menang, mengurus kemenangan akan menjadi lebih sukar daripada kemenangan itu sendiri.

Pada akhirnya, rakyat sekali lagi akan membuat keputusan. Dalam konteks orang Melayu, realitinya Umno bukan hanya satu-satunya pilihan. Apabila orang Melayu sudah bersedia memenangkan DAP dan menolak Umno, hukum-hakam politik negara sebenarnya perlu ditulis semula. Hari ini tidak ada yang mustahil lagi. Perubahan inilah yang harus difahami oleh Umno.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu
27 April 2008

Selasa, 22 April 2008

Penstrukturan semula BPR bukti ketelusan kerajaan

MASALAH rasuah berlaku di mana saja di dunia ini dan rasuah yang tidak terkawal boleh memusnahkan ekonomi sesebuah negara, termasuk menakutkan pelabur untuk membuat pelaburan. Malah, rasuah juga berupaya merosakkan sistem yang ada, termasuk sistem kehakiman, perundangan, penyampaian dan kehidupan seseorang. Apabila berlaku rasuah, walau sekecil mana sekalipun akan memusnahkan sistem yang diguna pakai apabila undang-undang sudah tidak dipatuhi. Oleh itu, ramai pihak mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menjadikan agensi penguat kuasa itu sebuah suruhanjaya sepenuhnya yang lebih bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Ia adalah langkah berani kedua dilakukan kerajaan selepas cadangannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah yang sistematik dan berwibawa. Difahamkan, BPR sudah menghantar kertas kerja kepada kerajaan dengan menjadikan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong sebagai panduan. Sejak ditubuhkan pada 1974, ICAC Hong Kong menggunakan tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan mendidik masyarakat dalam usaha memerangi rasuah. Hasil kerjasama kerajaan dan masyarakat, Hong Kong kini menjadi antara negara bersih daripada gejala rasuah. Bagaimanapun, ICAC Hong Kong itu hanya bertanggungjawab terus kepada Gabenor Hong Kong. Pada peringkat awal penubuhannya, ICAC dikritik sehingga ada pihak menganggapnya sebagai ‘I Can Accept Cash’ (Saya boleh terima tunai), tetapi kini ia antara badan yang paling dihormati di dunia.

Australia turut mempunyai ICAC tersendiri, tetapi badan yang meliputi New South Wales (NSW) itu tiada kuasa pendakwaan, cuma boleh mengesyorkan tindakan. Kelebihan ICAC NSW ialah ia memberi perlindungan kepada sesiapa saja yang menyampaikan maklumat berkaitan rasuah. Pemberi maklumat dilindungi daripada saman pihak yang dikaitkan dengan rasuah. Seeloknya, apabila BPR dijadikan badan bebas, ia hendaklah diletakkan terus di bawah penyeliaan Yang di-Pertuan Agong seperti ICAC Hong Kong yang bertanggungjawab secara terus kepada Gabenor. Ini bermakna badan itu diasingkan daripada pihak eksekutif iaitu pemerintah meskipun pelantikan seperti Ketua Pengarah atau ahli lembaga penasihat boleh dicadangkan Perdana Menteri sebelum diperkenan oleh istana. Ini bagi menjamin tiada persepsi negatif kononnya operasi badan itu nanti dipengaruhi kerajaan secara langsung. Selepas beroperasi selama 47 tahun, sudah tiba masanya BPR yang pada mulanya sebagai sebuah jabatan penuh, bukan saja perlu diberi imej baru, malah segala prosedur dan operasinya ditukar supaya lebih bebas dalam erti kata sebenar. Untuk tujuan itu, BPR perlu diberi lebih kuasa untuk menyiasat, menyaman dan mendakwa tanpa perlu menunggu arahan sesiapa, termasuk kerajaan. Malah, prosedur seperti menunggu laporan baru boleh memulakan siasatan juga perlu diubah dan dengan itu BPR harus diberi kuasa untuk memulakan sebarang siasatan jika ‘terhidu’ sesuatu yang disyaki wujud unsur rasuah melalui risikan. Dengan berbekalkan segala kuasa yang ada dan tanpa tekanan mana-mana pihak, sudah semestinya mendorong pegawai BPR menjalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih. Ini bukan bermakna BPR selama ini tidak bebas, tetapi yang penting ialah memberi lebih kebebasan kepada badan itu tanpa sebarang kekangan.

Berita Harian

Rustam Sani meninggal dunia pagi ini

KUALA LUMPUR, Rabu 23 April 2008: Penulis prolifik Rustam A Sani meninggal dunia pada jam 2.30 pagi ini dipercayai akibat sakit jantung. Rustam, 63, anak kelahiran Ipoh, adalah seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair.

Seorang anggota keluarganya berkata, jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya di Jalan Bukit Lela, Gombak, dan dijadual dikebumikan selepas solat Zohor hari ini. - Bernama

Isnin, 21 April 2008

Masalah jiwa meningkat

LONDON: Semakin ramai golongan kanak-kanak di Britain menderita masalah kesihatan mental kerana terpengaruh cara hidup negatif. Amalan meminum arak, dadah, perpecahan keluarga dan tekanan untuk kelihatan bergaya serta menarik menyumbang ke arah aliran itu.

Laporan terbaru dari badan siasatan ‘The Children's Society’ mengenai tahap kanak-kanak dijangka mendedahkan bahawa lebih sejuta golongan itu mengalami gangguan dari kemurungan, kebimbangan, anoreksia kepada keganasan.

Laporan itu menggesa tindakan untuk menghalang masalah kesihatan mental menjejaskan prospek generasi muda. Ia juga menggesa ibu bapa untuk berusaha lebih mengemudi anak mereka menjauhi tindak tanduk antisosial dan kehidupan jenayah dan pengangguran. Malah, ibu bapa digalakkan untuk memuji anak mereka dengan lebih kerap berbanding berulang kali mengkritik mereka, dan pada masa sama mewujudkan sempadan yang jelas.

Dalam bahagian kelima daripada enam siri laporan, kajian yang akan diterbitkan Khamis ini akan memberi tumpuan kepada kesihatan kanak-kanak, memeriksa tindak tanduk mereka dan menghargai diri sendiri.

- Agensi

Bayar duit untuk ibu jaga anak

LONDON: Satu laporan yang diterbitkan semalam mencadangkan ibu diberi bayaran untuk tinggal di rumah dan membesarkan anak. Penilaian mendapati kebanyakan wanita mahu bekerja separuh masa atau tidak bekerja langsung ketika anak mereka berusia bawah lima tahun, tetapi dihalang berbuat demikian kerana membantu keluarga.

Kumpulan pemikir ‘The Policy Exchange’ mendesak kerajaan menghapuskan sistem kredit cukai sedia ada dan memberikan elaun penjagaan anak bernilai £60 (RM372) bagi seorang anak kecil setiap minggu kepada ibu bapa untuk disimpan atau memperuntukkan ke atas penjaga.

Anggota pembangkang, Maria Miller, menyatakan kesediaan mempromosikan laporan itu.

“Bantuan kepada keluarga dalam tiga tahun pertama belum menjadi dasar. Banyak kemajuan hebat dibuat dalam sebahagian bidang, tetapi ramai wanita masih berasa mereka tidak mempunyai banyak pilihan mengenai bagaimana mereka menstruktur kehidupan keluarga,” katanya.

Laporan bertajuk ‘Little Britons’, itu mendakwa berbilion pound duit pembayar cukai dibazirkan ke atas penjagaan rasmi anak ketika ibu bapa lebih suka menjaga sendiri anak mereka di rumah.

Parti Buruh memperuntukkan £17 bilion (RM105.4 bilion) bagi perkhidmatan ke atas anak kecil sejak sedekad lalu dalam usaha menggalakkan ibu kembali bekerja. Ibu bapa di Britain membayar 70 peratus daripada kos penjagaan anak berbanding purata cuma 30 peratus seorang penduduk Eropah lain.

Walaupun ibu bapa berkemungkinan memilih pusat penjagaan ketika anak mereka berusia tiga tahun berbanding setahun, majoriti masih cenderung ke arah penjagaan keluarga.

- Agensi