Rabu, 26 September 2007

6,000 mat rempit akan dihantar bekerja di luar negara


KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 mat rempit akan dihantar untuk bekerja dalam pelbagai bidang di luar negara selepas mengikuti latihan di kolej tertentu anjuran Putera Umno sebagai usaha membantu golongan itu berubah.

Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ia adalah berdasarkan dua permintaan dari luar iaitu di Timur Tengah dan Australia yang memerlukan kira-kira 6,500 orang lelaki muda untuk berkhidmat di sana dalam bidang tertentu.

"(Negara-negara) Timur Tengah meminta kita menghantar kira-kira 5,000 orang untuk menjadi jururawat di hospital manakala Australia meminta 1,500 orang untuk bekerja sebagai pengimpal kapal," katanya kepada pemberita selepas meyampaikan sumbangan Ramadan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Abdul Azeez yang juga exco pergerakan Pemuda Umno berkata Putera Umno telah mewujudkan Skim Peluang Kedua untuk remaja berumur 18 hingga 25 tahun dalam golongan mat rempit untuk insaf dan kemudian diberi peluang melanjutkan pelajaran di kolej dalam bidang tertentu.

"Kita telah pun menandatangani perjanjian dengan beberapa buah kolej latihan dan juga syarikat kereta nasional untuk membantu remaja ini mendapat kemahiran dan seterusnya bekerja," katanya.

Beliau berharap menjelang hujung tahun ini Putera Umno berjaya membawa kira-kira 30,000 orang remaja untuk didaftarkan di dalam skim ini yang dianjurkan oleh Majlis Latihan Vokasional dan Kementerian Belia dan Sukan.

"Segala-galanya kita akan beri terutama dalam bantuan kewangan dan tempat belajar namun yang penting mereka perlu terlebih dahulu ada keinginan untuk berubah," katanya.

Hari ini, beliau menyampaikan 500 naskhah masing-masing al-Quran dan Yassin, 500 helai sejadah dan 50 kerusi roda sebagai sumbangan Putera Umno kepada HKL untuk kegunaan pesakit dan pengunjung hospital itu.

Kira-kira 100 orang mat rempit pula terlibat membantu memasak bubur lambuk yang kemudian diagihkan kepada pengunjung dan waris yang melawat anggota keluarga yang mendapat rawatan di hospital itu.

Bernama