
KLANG: Seorang anggota Pasukan Gerak Am (PGA) cedera parah di kepala selepas terkena tembakan di dalam tandas pos pengawal di Kem PGA Teluk Gong di sini hari ini.
Lans Koperal Mizal Azmi Zakaria, 34, dari Kem PGA Cheras dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.
Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika anggota berkenaan bertugas di pos pengawal di Kem PGA Telok Gong.
Beliau berkata anggota berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang bertugas sejak semalam dilaporkan ke tandas di bahagian belakang pos pengawal berkenaan sebelum beberapa rakannya terdengar bunyi tembakan.
"Salah seorang rakan mangsa terpaksa memanjat pintu dari tandas sebelah kerana pintu tandas itu berkunci dan mendapati Mizal Azmi terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan darah di kepala dan kesan tembakan dari sebelah kanan menembusi sedikit di sebelah kiri kepalanya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata Mizal Azmi yang telah berkhidmat selama 12 tahun sebagai anggota PGA diberikan tugas ringan seperti menjaga pos pengawal selepas dia cedera dalam kemalangan kira-kira setahun lepas dan sehingga kini masih menjalani rawatan susulan.
BERNAMA