Rabu, 5 September 2007

Kenapa tidak laksana hukuman rotan


KENAKALAN remaja memang diakui suatu yang lazim. Namun ini tidak bermakna kita perlu tunduk pada kebiadapan dan kenakalan keterlaluan.

Memang jika melihat statistik, peratusan pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin sekitar dua peratus daripada lima juta pelajar seluruh negara. Namun, dengan 56,500 kes disiplin yang dilaporkan sepanjang Januari sehingga Mei tahun ini sahaja, tidakkah ia suatu jumlah yang besar?

Itu hanya terhad kepada kes rasmi yang dilaporkan. Dipercayai banyak lagi kes disiplin pelajar tidak dilaporkan atas faktor tertentu.

Adakah ketenatan tahap disiplin pelajar kini berpunca daripada hukuman dan tindakan disiplin yang terlalu ‘lemah lembut’ sehingga mereka menganggap sesi kaunseling tidak ubah seperti leteran ibu di rumah?

Oleh itu, langkah mengembalikan semula hukuman merotan di khalayak awam wajar dilakukan bagi menghukum pelajar yang tidak berdisiplin terutama kalangan yang ‘rajin’ melakukan pelanggaran demi pelanggaran peraturan di sekolah.

Hukuman merotan memang perlu kerana terbukti pendekatan seperti nasihat dan sesi kaunseling masih tidak mampu menginsafkan pelajar tegar atau sering dipanggil tidak makan saman ini.

Namun, mungkin ada pihak yang mendakwa pelajar yang dirotan di hadapan rakan-rakannya akan merasakan diri sebagai wira atau kemungkinan bertindak lebih agresif sebagai tanda protes setelah dikenakan hukuman.

Tidak kurang juga, ada kalangan ibu bapa yang ‘menyayangi’ anaknya akan memfailkan saman terhadap pihak sekolah apabila anaknya dirotan.

Apa pun, mahu tidak mahu semua pihak digesa usah terlalu bersikap sentimental atau terlalu ‘beri muka’ terhadap pelajar yang sedia maklum terang-terangan biadab dan tidak berdisiplin ini. Lagipun, hukuman rotan di khalayak warga sekolah bukannya dibuat sewenang-wenangnya.

Hanya guru besar, pengetua dan guru disiplin yang memiliki kuasa merotan dengan prosedur tertentu manakala hanya kes berat yang dikenakan hukuman tersebut.

Ibu bapa yang bertindak menyaman pihak sekolah pula sebenarnya tidak mengenang jasa serta fungsi institusi berkenaan mendidik anak-anak mereka.

Sepatutnya, ibu bapa yang gagal mendidik dan membentuk keperibadian murni anak-anak sehingga menimbulkan masalah kritikal di sekolah patut juga disaman!

Tindakan merotan memang bukan penyelesaian mutlak untuk menyedarkan mereka yang tidak makan saman ini seandainya asas didikan agama dan sahsiah murni tidak disemai terlebih dahulu oleh ibu bapa mereka.

Namun, tindakan tersebut setidak-tidaknya akan mengingatkan pelajar-pelajar lain betapa azabnya jika melanggar peraturan atau menimbulkan kekacauan di sekolah. Hukuman merotan juga dapat membendung masalah disiplin dan jenayah juvenil daripada terus menular mempengaruhi pelajar lain.

Ini penting bagi menyediakan persekitaran yang selesa tanpa tekanan terhadap lebih ramai pelajar yang benar-benar mahu belajar apabila datang ke sekolah.

Bagi pihak yang pesimis terhadap hukuman merotan, adakah hati beberapa kerat pelajar yang sememangnya degil dan keras kepala ini mahu dijaga sehingga kita melupakan hak ribuan pelajar lain untuk menikmati alam persekolahan yang tenang tanpa gangguan ‘penjenayah’ sekolah ini?

Hujah mengatakan bahawa pelajar yang dirotan mahupun yang menonton hukuman tersebut berkemungkinan mengalami trauma dan gangguan psikologi, barangkali tidak tepat dalam zaman ledakan Internet ini.

Ada masanya kita perlu berkeras kerana tindakan berlembut seringkali tidak dipandang berat malah dicabar pula oleh pelajar yang bermasalah ini.

Kita harus mengakui keadaan masyarakat di luar lingkungan sekolah itu juga turut mempengaruhi sistem nilai dan tindakan pelajar. Hukuman merotan hanya satu mekanisme jangka pendek yang perlu diiringi dengan pembinaan sahsiah masyarakat sendiri agar pelajar dan remaja kita berupaya menangani tekanan dan konflik yang dibawa bersama oleh arus kemajuan yang dikejar.

– MOHD. ARIF ATAN.
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

Utusan Malaysia 6 September 2007