Rabu, 5 September 2007

Gimik perkongsian kuasa di Pakistan


PELBAGAI isu dan krisis membelenggu pemerintahan Pakistan sejak Presiden Jeneral Pervez Musharraf memegang tampuk kuasa di negara itu kurang daripada 10 tahun lalu.

Kedudukan Musharraf sebagai ketua tentera berakhir pada November nanti, manakala pilihan raya Parlimen pula akan berlangsung awal tahun depan.




Namun sebelum itu, Musharraf harus pula menempuh pemilihan Presiden yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini. Dengan isu-isu mengenai keganasan, aktiviti pro-Taliban, krisis Masjid Merah dan pemecatan Ketua Hakim Mahkamah Agung Iftikar Mohammed Chaudry masih lagi berlegar dalam fikiran rakyat Pakistan, ia bukan ‘berpihak’ kepada Musharraf dalam menghadapi pilihan raya ini.

Musharraf menyedari kesukaran yang terbentang terutamanya untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau merupakan calon Presiden terbaik dan harus dipilih sekali lagi bagi penggal seterusnya selama lima tahun.

Kaedah yang terbaik harus dicari dan formula tersebut ditemui pada Benazir Bhutto yang ketika ini berada dalam buangan di London. Perlu diingatkan, Benazir menghadapi tuduhan rasuah.






Nama Benazir sememangnya masih mempunyai daya tarikan tersendiri dalam perkembangan politik Pakistan, meskipun telah kehilangan kuasa selepas dua kali menjadi Perdana Menteri Pakistan pada 1988-1990 dan 1993-1996, serta telah hidup dalam buangan di London.

Karisma beliau sebagai pemimpin masih terus subur dan ia disegarkan dengan sokongan dari Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang ketika ini menjadi parti pembangkang di Parlimen.

Meskipun penganalisis politik melihat ia satu usaha terdesak Musharraf untuk kekal berkuasa, namun ia mungkin satu jalan terbaik demi menyelesaikan permasalahan politik Pakistan. Sekali imbas, gabungan Musharraf dan Benazir dilihat sebagai pasukan yang baik dan sekutu paling sesuai untuk menggerakkan Pakistan selepas 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Meskipun demikian, usaha ke arah perkongsian kuasa ini masih lagi di peringkat permulaan dan ia sudah pun memperlihatkan kesukaran untuk dicapai.

Rundingan peringkat pertama gagal mencapai kata sepakat dan rundingan peringkat kedua di Dubai sedang berlangsung. Usaha bersungguh-sungguh Musharraf untuk memastikan Benazir menerima tawaran beliau dilihat secara berhati-hati oleh bekas Wanita Pertama Pakistan itu.

Malah dalam keadaan ini, Benazir telah meletakkan syarat bahawa Musharraf haruslah melepaskan pakaian seragam tenteranya sekiranya beliau ingin bertanding dalam pemilihan Presiden – syarat tegas dan hampir mustahil ditunaikan Presiden. Syarat Benazir ini juga menerima kritikan dari parti pemerintah Pakistan iaitu Liga Muslim Pakistan yang melihat ia sebagai satu ugutan dan keangkuhan Benazir. Bagaimanapun, syarat Benazir ini sebenarnya satu isyarat jelas bahawa beliau menginginkan agar pilihan raya yang bakal menjelang haruslah sebuah proses lebih telus dan demokrasi dengan mengehadkan pembabitan tentera.

Bagi pihak Benazir pula, sekiranya Musharraf bersetuju dengan syarat tersebut, maka Benazir melalui PPP akan menyokong pencalonan Musharraf sebagai Presiden.

Selain itu, pastinya akan terdapat pihak- pihak yang kurang senang dengan usaha perkongsian kuasa ini. PPP sendiri dilaporkan berselisih pandangan dengan tindakan Benazir menjalin hubungan dengan seorang pemerintah tentera. Parti pemerintah, Liga Muslim Pakistan secara terbuka mendesak agar Presiden tidak tunduk kepada syarat Benazir supaya beliau melepaskan jawatan ketua tentera sebelum bertanding.

Ini kerana, adalah dibimbangi sekiranya beliau kembali ke Pakistan dan perkongsian kuasa akan dilaksanakan, pastinya Liga Muslim Pakistan akan menjadi kambing hitam dalam percaturan ini hingga menyebabkan mereka kehilangan kuasa. Selain itu, terdapat juga kalangan radikal pro-Taliban yang pada bila-bila masa sahaja mampu mencetuskan huru-hara di Pakistan.

Dalam pada itu, sekiranya perkongsian kuasa ini benar-benar menjadi realiti dan bukan sekadar gimik politik untuk menarik simpati terutamanya kepada Musharraf mahupun Benazir, maka Pakistan sebenarnya mempunyai harapan yang lebih cerah.

Perkongsian ini dilihat mampu merapatkan hubungan pelbagai golongan di Pakistan sama ada daripada pihak liberal-demokrasi yang menerima dukungan Barat, golongan tentera dan kemungkinan daripada golongan berhaluan kanan dan agama. Jika ini mampu dicapai, maka Pakistan pastinya akan memasuki tahun 2008 dengan suasana berbeza berbanding sebelumnya.

Dalam melihat perkembangan semasa politik Pakistan, satu lagi nama yang tidak harus diketepikan ialah Nawaz Sharif, bekas Perdana Menteri yang digulingkan pada 1999. Beliau juga berazam untuk kembali ke Pakistan sebelum pilihan raya diadakan. Sebagaimana Benazir, Nawaz juga dilihat masih mempunyai pengaruh yang besar. Dan seperti Benazir, pengaruh ini juga mampu menentukan perjalanan politik Pakistan. Nawaz boleh menjadi calon alternatif dalam pilihan raya dan sekiranya beliau mampu untuk mengumpulkan kekuatan daripada pihak-pihak yang memusuhi Musharraf, kelebihan ada padanya.

Dalam keadaan ini, perkongsian kuasa dengan Benazir harus segera dicapai.

Oleh AZHARUDIN MOHAMED DALI

DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).
Utusan Malaysia 6 September 2007