Rabu, 5 September 2007

RTM kini sangat selektif


LANGKAH Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memperkenalkan sistem tender baru perolehan rancangan-rancangan untuk siaran TV RTM1 dan RTM2 baru-baru ini memang tepat pada masanya.

Ini kerana, menerusi sistem baru itu, RTM kini lebih telus dengan hanya membeli produk-produk yang terbaik sahaja daripada syarikat-syarikat pembekal drama, dokumentari, telemovie, animasi dan rancangan hiburan tempatan.

Pelbagai cara telah dilakukan antaranya dengan mewujudkan jawatankuasa penilai selain mengkelaskan syarikat penerbit dan rancangan-rancangan yang mereka terbitkan berdasarkan prestasi masing-masing.

Sebelum ini, pemberian tender antara lain berdasarkan jumlah slot jam yang diberikan kepada syarikat-syarikat pembekal bagi membekalkan rancangan-rancangan yang sesuai untuk ditayangkan menerusi dua saluran TV milik kerajaan itu.

Sebab itu, ada syarikat penerbit yang mengambil sikap sambil lewa dalam menghasilkan sesebuah produk tanpa serius memikirkan soal kualiti, apatah lagi apabila sesuatu tender yang mereka pohon telah mendapat kelulusan daripada RTM.

Dengan adanya pengenalan sistem tender baru itu, RTM kini sangat selektif di mana ia antara lain bertujuan menarik perhatian lebih ramai penonton bagi mengikuti siaran-siaran mereka.

Mewujudkan

Diharap sistem baru itu bukan sahaja akan membantu mempertingkatkan lagi mutu rancangan-rancangan yang akan disiarkan menerusi RTM1 dan RTM2 selepas ini. Tetapi pada masa yang sama, langkah itu juga akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan para penerbit supaya mereka bekerja keras bagi menghasilkan rancangan-rancangan yang lebih berkualiti.

Sayangnya, masih ada di kalangan penerbit rancangan yang belum peka dalam memenuhi cita rasa para penonton sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Selain mengikuti garis panduan yang telah diberikan oleh RTM, para penerbit sepatutnya terlebih dahulu mewujudkan panel perunding mereka sendiri sebelum menerbitkan sesebuah rancangan.

Antaranya dengan mengadakan sesi pemilihan pelakon yang sesuai, lokasi penggambaran dan yang paling penting sekali ialah proses penghasilan sesebuah skrip dengan mengutamakan keaslian jalan ceritanya. Kita tidak mahu pihak penerbit rancangan masih terbawa-bawa dengan stail rancangan lama RTM.

Sementara itu, dalam usaha untuk mendapatkan tender pembekalan rancangan-rancangan TV kepada RTM, pihak penerbit juga tidak sepatutnya bertelagah sesama sendiri.

Sebaliknya, para penerbit yang juga kebanyakannya ahli Persatuan Penerbit-Penerbit Filem Malaysia (PFM) sepatutnya bersatu hati bagi mencari kata sepakat dalam usaha untuk mendapatkan tender rancangan daripada RTM.

Mereka seharusnya bergabung mencari kata sepakat bagi berurusan dengan pihak RTM jika timbul sebarang masalah berhubung pemberian tender, bayaran, konsep rancangan dan sebagainya pada masa depan.

Kita tentunya mengharapkan agar rancangan-rancangan yang disiarkan oleh RTM semakin bermutu tetapi bagaimana hasrat itu dapat dicapai jika para pembekalnya sendiri bercakaran sesama sendiri?

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Utusan Malaysia 6 September 2007