
SAYA mentafsir masyarakat cemerlang sebagai sebuah institusi yang berkesan bagi membolehkan ahlinya tumbuh dan berkembang dengan sempurna. Ia juga ialah sistem yang membolehkan setiap individu mencapai kehendaknya semaksimum mungkin.
Ahli masyarakat menikmati kegembiraan hidup berada di dalamnya. Mungkin relatif syurga dunia agaknya.
Anggota masyarakat cemerlang mempunyai visi dan misi yang mengutamakan hasil pencapaian. Kejayaan individu bukan kerana kebetulan menimpa individu itu, sebaliknya kerana adanya sistem dalam masyarakat tersebut.
Jika masyarakat boleh berfungsi dengan sendiri, apakah perlu lagi ada pemimpin untuk mengatur aktiviti masyarakat?
Pemimpin masih diperlukan dalam mana-mana masyarakat cemerlang dan kepemimpinan dalam masyarakat yang sentiasa menitikberatkan budaya kualiti dan kejayaan.
Perkembangan individu berlaku secara sistematik, sambil setiap individu boleh membuat keputusan sendiri untuk dirinya. Keputusan-keputusan itu pula dibuat berdasarkan prinsip fakta dan proses saintifik, bukan berdasarkan tahyul. Pelajar di universiti, khususnya di Universiti Utara Malaysia (UUM) tentu sudah terlatih untuk berfikir secara saintifik, berdasarkan bukti, bukan percaya kepada khabar angin dan cerita-cerita hantu.
Masyarakat yang cemerlang ialah masyarakat yang bebas dan merdeka menentukan pilihan-pilihan kehidupan sambil mengiktiraf adanya pelbagai tekanan dan cabaran dari luar serta dalam yang perlu dihadapi. Oleh itu, masyarakat cemerlang tidak takut untuk membuat hubungan atau kolaborasi dengan sistem-sistem lain dan sentiasa merancang untuk berubah ke arah yang lebih baik serta boleh pula mengurus perubahan itu apabila ia terjadi.
Masyarakat cemerlang sangat dinamik, berkemampuan bertindak balas terhadap perubahan dalaman dan luaran.
Sekali lagi ditekankan, ia bukan melalui inisiatif individu ahli tetapi kerana adanya mekanisme peraturan atau sistem yang terbina dalam masyarakat itu.
Dinamika sosial adalah konsep yang berinspirasikan matematik dan saintifik semasa menganalisis sesuatu fenomena yang terdapat dalam masyarakat itu, bukan tahyul.
Budaya dalam masyarakat itu mempunyai ikatan emosi yang tidak mempunyai alternatif lain bagi memenuhi keperluan- keperluan subjektif ahli-ahlinya. Ada kompromi terhadap kepelbagaian dalam masyarakat kerana adanya persetujuan yang tidak disedari mengenai satu-satu denominator yang dikongsi bersama.
Untuk mencapai kecemerlangan seperti yang ditafsirkan, masyarakat itu, Malaysia misalnya, perlu melakukan revolusi kebudayaan. Revolusi kebudayaan memerlukan perubahan struktur sesuatu masyarakat serta perubahan nilai-nilai dalam sesuatu tempoh tertentu.
Manusia dikatakan sememangnya mempunyai tendensi semula jadi sosial untuk berubah dan ini menyamai kecenderungan dinamika biologi organisme.
Masyarakat wujud dalam bentuk dua alam – sosial dan biologikal. Seperti tumbuhan yang berinteraksi dengan sumber (seperti baja) dan tekanan. Pohon berbuah atau berbunga apabila menerima tekanan (orang tua Melayu, misalnya, percaya dengan mengelar batang pohon yang sudah terlalu lama tidak berbuah, pohon itu akan berbuah. Secara saintifik huraiannya ialah orang itu telah mengenakan tekanan kepada struktur biologi pohon tersebut).
Oleh itu revolusi budaya akan berlaku apabila struktur masyarakat itu diganggu. Seperti dunia biologi, masyarakat berubah, apabila strukturnya diganggu. Ini terjadi untuk memastikan penerusan kewujudannya.
Mengeksploitasikan
Teori ini berhujah bahawa masyarakat berubah secara yang ditetapkan untuk berperanan dalam ekologi biosphere mereka. Jika tidak, masyarakat itu akan mati daripada kegagalan bersaing dengan masyarakat yang lebih cekap mengeksploitasikan alam semula jadinya. Untuk bersaing, sejarah manusia menunjukkan masyarakat yang berupaya mencipta alat yang boleh menguasai alam akan lebih lama boleh bertahan daripada dilenyapkan. Ini selalu dinamakan sebagai aktiviti teknologi. Pada ketika ini pun masyarakat yang dinamik tidak dapat lari daripada menguasai teknologi.
Dalam masyarakat moden, pembahagian kerja/peranan yang kompleks melahirkan apa yang disebut ‘kesepaduan organik’. Ahli-ahli saling bergantungan sehingga tiada siapa yang boleh berdiri sendiri untuk memenuhi setiap keperluan hidupnya, berbanding ‘masyarakat mekanikal’ yang boleh hidup sendiri seperti ‘petani subsistans’ pada masa silam yang setiap daripada mereka mempunyai pekerjaan yang hampir serupa.
Dalam kesepaduan organik, kerap terjadi konflik antara ‘bisikan hati individu’ dengan ‘bisikan hati kolektif’. Untuk mengawal kepelbagaian ‘bisikan hati’ inilah undang-undang diadakan dan selalunya, pada kaca mata individu, undang-undang itu dilihat represif.
Pembahagian kerja yang kompleks juga menyebabkan wujudnya kekeliruan dalam masyarakat mengenai apakah yang norma dalam sesuatu kehidupan masyarakat. Norma sosial yang selama ini mengaturkan tingkah laku ahli-ahli masyarakat akan dipecahkan, yang pada peringkat awalnya akan dinamakan sebagai tingkah laku menyimpang atau devian.
Pada waktu ini ‘mat rempit’ dianggap sebagai anak muda yang menyimpang. Anggapan ini boleh berubah kerana ia tidak bersifat mutlak, tetapi bersifat tentatif.
Oleh sebab budaya juga dipelajari maka manusia yang tinggal di tempat yang berbeza mempunyai budaya yang berbeza. Melalui budaya, manusia menyesuaikan diri mereka dengan alam keliling secara bukan genetik.
Masyarakat menyediakan peraturan, peranan, tradisi, kelajuan perubahan seumpama suatu permainan sukan yang menyediakan gelanggang dan peraturan permainan di dalamnya.
Proses perubahan itu melibatkan kesediaan melepaskan sebahagian besar daripada apa yang telah dimiliki pada masa lalu – bersedia untuk mencipta masa hadapan tidak semata-mata berdasarkan sejarah. Ada di antara ahli masyarakat yang hanya berbangga dengan kegemilangan sejarah silam.
Proses perubahan melibatkan keadaan ketidaktentuan. Ia adalah perkara semulajadi yang timbul dalam proses itu. Individu mungkin terpaksa mengorbankan tingkah laku yang disenanginya selama ini.Kata-kata seperti ‘biasanya kita buat macam ini’, mungkin perlu disingkirkan. Demikian juga dengan kata-kata ‘itu tak mungkin terjadi’. Masa depan membuka pelbagai peluang dan pilihan.
Komitmen kepada perubahan hendaklah dijadikan prioriti dalam masyarakat. Setiap orang mesti terlibat - bersedia melabur masa dan sumber. Ia hendaklah menjadi kebudayaan yang meliputi kepercayaan dan amalan dalam segenap aspek kehidupan dalam masyarakat.
Oleh NORDIN KARDI
Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).
Utusan Malaysia 6 September 2007