Rabu, 5 September 2007

Kasihani Nurin


SEMALAM, hari ke-16, Nurin Jazlin Jazimin dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri pada 20 Ogos lalu.

Pelbagai kaedah telah digunakan untuk menjejaki kanan-kanak malang itu. Bermula dengan laporan polis, bantuan orang ramai, khidmat bomoh dan kaedah perantaraan jarak jauh, namun Nurin masih gagal ditemui.

Pihak media turut memainkan peranan, selain kumpulan sukarela yang bekerjasama mengedarkan poster Nurin di seluruh negara.

Sehingga kini ganjaran RM8,000 ditawarkan kepada individu yang dapat memberi maklumat sehingga Nurin ditemui semula.

Namun jumlah tersebut mungkin belum cukup besar untuk menggerakkan hati orang yang menyembunyikan Nurin untuk mengeluarkannya dari tempat persembunyian.

Kita tentu masih ingat kisah Yin yang hilang di pusat membeli-belah di ibu kota dan ditemui selepas 15 hari kehilangannya. Yin, kanak-kanak hiperaktif biarpun ditemui dalam keadaan selamat namun tiada siapa mampu menyelami perasaannya melalui pengalaman itu.


Bekalan

Dan bagi kes Nurin, nasib kanak-kanak malang ini amat diratapi kerana dia menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang. Tanpa bekalan ubat dan tidak diketahui di mana dia disembunyikan, hanya Tuhan yang tahu keadaan Nurin sekarang.

Pelbagai andaian dibuat mengenai kejadian tersebut, yang pasti usaha menjejaki Nurin mesti diteruskan. Rakyat Malaysia yang prihatin mesti meletakkan wajah comel Nurin di kotak fikiran masing-masing supaya ada rasa tanggungjawab untuk menghantar dia pulang ke pangkuan ibu bapanya.

Jari kita jangan sesekali menuding kepada mana-mana pihak yang kononnya bersalah di atas kejadian itu, kerana ia sama sekali tidak akan membuka jalan, jauh sekali memberi ilham di mana Nurin. Apa yang terjadi kepada Yin dan Nurin seharusnya dijadikan iktibar supaya kita semua lebih berhati-hati dalam dunia yang tidak pernah mengenal sempadan umur untuk dijadikan mangsa jenayah.

Kita bukan hidup di era 60-an atau 70-an di mana kanak-kanak terlalu suci untuk dijadikan mangsa jenayah. Zaman di mana kanak-kanak bebas bermain di mana sahaja tanpa rasa takut akan diapa-apakan.

Kita sekarang berada di satu zaman yang mana bukan sahaja kanak-kanak berusia 5 tahun membuka selera ‘perogol’ malah nenek tua berusia 69 tahun pun cukup untuk merangsang nafsu penjenayah.

Kepada manusia yang berputih hati menyembunyikan Nurin, kembalikanlah kanak-kanak malang itu kepada keluarganya. Ingatlah rentetan kesalahan yang anda lakukan tidak akan dapat ditebus hatta dengan emas segunung jika sesuatu yang tidak diingini menimpa Nurin.

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK

Utusan Malaysia 6 September 2007